Presiden FA Cameroon ataupun FECAFOOT yang baru, Samuel Eto’o memiliki cara tersendiri untuk memberikan sokongan kepada pasukan dan para pemain.

Cameroon menjadi tuan rumah Piala AFCON 2021. Jadi, ini merupakan kejohanan pertama Etoo sebagai presiden FA negaranya.

Etoo dilihat berada dalam landasan yang tepat selepas 2 perlawanan. Menang dua kali dengan enam mata. Dan sudah sah mara ke pusingan kalah mati.

Samuel Etoo dianggap sebagai antara pemain terbaik sepanjang zaman dalam sejarah Afrika. Mungkin beza beliau dengan George Weah hanyalah Ballon d’Or.

Selebihnya, Etoo memiliki segala statistik dan pencapaian yang tak tercapai dek akal. Menjadikan Etoo adalah yang terbaik dalam generasinya. Etoo menjadi wira Cameroon apabila dia memenangi Piala Negara Afrika 2000, 2002 dan pingat emas Sukan Olimpik Sydney 2000.

Dalam memberikan sokongan kepada pasukan. Etoo memilih pendekatan yang berbeza dengan presiden persatuan negara lain.

Etoo yang memulakan tugasan selaku presiden FECAFOOT sejak 11 Disember yang lalu, memiliki yayasan bola sepaknya tersendiri yang membantu pemain pemain muda untuk berkelana ke Eropah. Yayasan itu bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, malah membantu pemain mendapatkan ejen yang terbaik untuk mereka.

Antara pemain yang mendapat manfaat daripada yayasan tersebut ialah Andre Onana yang menjadi salah seorang penjaga gol berstatus bintang di Eropah.

Etoo seorang presiden yang tidak kedekut. Sebelum sepak mula AFCON 2021, Etoo menyumbang dana untuk membeli bas pasukan Cameroon yang lebih selesa dan kondusif untuk kegunaan sukan.

Etoo tak suka dengan bas ekspress komersial yang digunakan sebelum ini yang tidak sesuai standard untuk sebuah pasukan bola sepak.

Bas mewah itu memiliki 70 tempat duduk di dalamnya untuk memastikan pemain dan pegawai boleh dibawa sekali dalam satu masa.

https://twitter.com/Kick4422/status/1475531064248610816

Laporan di Afrika juga melaporkan banyak lagi sumbangan dana peribadi oleh Etoo kepada bola sepak negaranya serta kebajikan yang lain.

Oleh sebab itu, Etoo lebih selesa untuk meluangkan banyak masanya di negaranya berbanding dengan beberapa bintang Afrika yang kaya raya lain, apabila bersara memilih untuk tinggal di Eropah atau Amerika Syarikat.

Sebagai presiden FECAFOOT, Eto’o menyokong sepenuhnya perjuangan pemain ketika perlawanan. Seterusnya Etoo yang kakinya masih gatal mahu menendang bola seringkali dilihat bersama sama dengan pemain melakukan beberapa aksi rondo di atas padang.

Seterusnya Samuel Etoo memastikan dana untuk pasukan Cameroon pada kali ini digunakan dengan sebaik baiknya. Etoo tidak mengumumkan bonus yang luar biasa kepada pemain. Kerana enggan peristiwa janji bonus tak ditepati seperti sebelum ini berulang.

Cameroon sebelum ini berdepan dengan masalah pemain mogok dan enggan dipanggil bermain untuk kejohanan besar kerana ditipu bonus mereka.

Etoo menegaskan bahawa, perkara itu tidak akan berlaku pada eranya. Sebab dia transparen dengan kemampan sebenar FECAFOOT dalam menjanjikan bonus.

Etoo sebelum ini berkata: “Menjadi presiden FECAFOOT bermakna saya perlu menjaga keperluan semua pemain. Tugas saya ialah memastikan semuanya baik-baik saja,” kata Eto’o semasa bertanding untuk Kongres FECAFOOT, Disember 2021.

Ramai peminat bola sepak terinspirasi daripada kisah Samuel Etoo ini terutama sekali peminat bola sepak Cameroon.

Peminat Cameroon sudah memberikan amaran kepada menteri menteri di negara mereka agar tidak sesekali mengganggu Etoo dalam menjalankan tugasannya.

Kerana mereka percaya, FECAFOOT akhirnya kembali ditadbir orang yang tepat yang tidak ada kepentingan politik.