Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membayangkan kemungkinan tidak ada lagi pemain naturalisasi dalam tempoh 2 tahun yang akan datang berikutan kesukaran mencari pemain berkualiti yang boleh dinaturalisasikan untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Hal ini terjadi kerana kebanyakan pemain asing yang beraksi dalam Liga Malaysia tidak menepati salah satu kriteria utama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan syarat FIFA, seseorang pemain itu perlu tinggal di negara itu secara berterusan selama lima tahun selepas berusia 18 tahun untuk mendapatkan status naturalisasi.

Namun, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam melihat penyerang import Kedah dari Ivory Coast, Kipre Tchetche berpeluang untuk dinaturalisasikan kerana telah beraksi dalam Liga Malaysia sejak 2017. Tchetche sebelum ini beraksi bersama pasukan Terengganu FC selama 3 tahun.

“Memang sukar untuk cari pemain yang boleh dinaturalisasikan dalam masa terdekat. Ramai penyokong tanya kenapa tak naturalisasikan pemain pemain tertentu, sebenarnya mereka tidak tahu syarat FIFA ini.

“Mungkin pada tahun 2021 atau 2022, penyerang Kedah, Kipre Tchetche boleh dinaturalisasikan kerana tahun ini dia sudah empat tahun bermain di sini. Tahun 2021 akan genap lima tahun tetapi segala-galanya belum pasti,” katanya seperti dipetik dalam Sinar Harian.

Kipre Tchetche
Aksi Kipre Tchetche ketika bersama Terengganu FC. FOTO: TFC

Malaysia mungkin akan diperkuatkan oleh dua lagi pemain naturalisasi iaitu Guilherme De Paula dan Liridon Krasniqi pada tahun ini jika mendapat kelulusan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Situasi dua pemain itu berbeza dengan tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh yang merupakan pemain naturalisasi pertama negara. Beliau sudah menetap di Malaysia sejak berusia 13 tahun sebelum memulakan karier bola sepak profesional empat tahun kemudian.

“Sebenarnya kebanyakan pemain import di Malaysia ini tidak menepati kriteria bermain secara lima tahun berturut-turut di negara ini untuk membolehkan bermain bersama Harimau Malaya.

“Kalau ada pun pemain import ini yang dah main tiga tahun di sini tetapi tahun keempat pergi main di tempat lain, selepas itu datang balik bermain kat sini. FIFA tak benarkan macam itu, sebaliknya dia perlu bermain lima tahun terus di sini.

“Ada pemain import yang main terus lima tahun di sini tetapi sebelum itu, dia sudah mewakili negaranya dan secara automatik dia tidak boleh bermain untuk Malaysia,” jelasnya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan harimau malaya melalui pautan dibawah.

FIFA Bakal Umumkan Keputusan Proses Naturalisasi Liridon Krasniqi Dan Guilherme De Paula

Yusoff Mahadi Mahu Skuad Harimau Malaya Takluk Asia Tenggara Pada Tahun 2020

Juara Gulf Of Nations Cup, Bahrain Setuju Menentang Harimau Malaya Dalam Perlawanan Persahabatan

Sumber