Tajikistan bangkit daripada ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Trinidad & Tobago sekali gus layak ke perlawanan akhir 48th King’s Cup 2022 yang berlangsung di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai, Thailand sebentar tadi.
Baca Juga:
- Kim Pan-gon Jadikan King’s Cup Medan Persiapan Ke Piala Asia
- Alexandré Pölking Sasar Thailand Juara King’s Cup 2022
- King’s Cup 2022: Thailand Umum Barisan Terkuat Jumpa Harimau Malaya
Berdepan lawan yang berada lapan anak tangga di atas mereka (101 ranking dunia) tidak langsung menggentarkan anak buah Petar Segrt untuk mempamerkan aksi kemas bagi melakar kejutan.
Trinidad & Tobago bagaimanapun terlebih dahulu memberikan ancaman terbesar buat Tajikistan pada minit ke-17 tetapi gerakan cantik Levi Garcia yang membolehkan Noah Powder melakukan percubaan jarak dekat berjaya diselamatkan oleh Vakhdat Khanonov ketika penjaga gol, Rustam Yatimov sudah pun tertewas.
Kehampaan itu ditebus 10 minit kemudian selepas sepakan dari kawasan penalti sendiri dilakukan penjaga gol, Nicklas Frederup berjaya mencari Levi Garcia yang menanduk bola ke arah Judah Garcia.
Judah yang meluru ke dalam kawasan penalti tidak berdepan masalah melakukan kuisan bagi menewaskan Rustam untuk memberikan jaringan pendahuluan buat Trinidad & Tobago.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Tajikistan memperkemaskan aksi untuk tampil dengan lebih baik dalam usaha untuk memburu jaringan penyamaan yang diidamkan.
Peluang itu menjelma pada minit ke-47 apabila kesilapan pemain pertahanan, Sheldon Bateau yang gagal untuk membaca dengan baik hantaran jauh daripada Akhtam Nazarov dalam kawasan penalti memberikan peluang buat Mukhammadzhon Rakhimov untuk melakukan percubaan sekali gus menewaskan Frenderup.
Trinidad & Tobago cuba untuk memberikan reaksi pantas susulan jaringan penyamaan tersebut tetapi serangan dilakukan menerusi percubaan Levi Garcia berselang dua minit kemudian berjaya diselamatkan Rustam.
Sahrom Samiev hampir meletakkan Tajikistan dihadapan pada minit ke-57, namun tandukannya selepas menerima hantaran lintang cantik daripada Tabrezi Davlatmir diselamatkan oleh Frenderup yang menyaksikan penjaga gol tersebut mengalami kecederaan ketika menyelamatkan percubaan tersebut.
Pemain gantian, Ekhson Pandzhshanbe muncul wira buat Tajikistan apabila larian dari belakang dilakukannya untuk menyambar gerakan dimulakan oleh Shervoni Mabatshoev disudahkan dengan satu percubaan ‘placing’ yang menewaskan penjaga gol gantian, Marvin Phillip pada minit ke-75.
Shervoni hampir mengulangi kecemerlangan berselang tujuh minit kemudian tetapi percubaan dari kedudukan serupa diselamatkan oleh Phillip untuk perlawanan berkesudahan dengan 2-1 memihak Tajikistan.