Stesen TV9 terus menyediakan program sukan yang menarik khas buat semua peminat bola sepak tempatan. Kali ini mereka akan menyiarkan semua perlawanan persahabatan kejohanan jemputan 48th King’s Cup 2022 yang berlangsung di Chiang Mai, Thailand.
Baca Juga:
- King’s Cup 2022: Thailand Umum Barisan Terkuat Jumpa Harimau Malaya
- Penduduk Chiang Mai Teruja Sambut Ketibaan Skuad Harimau Malaya
- Alexandré Pölking Sasar Thailand Juara King’s Cup 2022
- Kim Pan Gon Sedang Siapkan Senjata Rahsia Untuk Skuad Harimau Malaya
Selain tuan rumah dan Malaysia, kejohanan tersebut turut disertai oleh Tajikistan (ranking 109) dan Trinidad & Tobago (ranking 101). Semua keputusan perlawanan tersebut memberi pulangan mata ranking FIFA kerana diiktiraf sebagai Persahabatan Antarabangsa Tier 1.
Para peminat bola sepak berpeluang menonton perlawanan pertama melibatkan Trinidad & Tobago menentang Tajikistan di saluran TV9 bermula pada pukul 6.15 petang (Waktu Malaysia) pada 22 September 2022.
Kemudian disusuli dengan perlawanan tumpuan, Thailand menentang Malaysia bermula pukul 9.15 malam.
Sudah tentu ramai peminat dan penonton tidak sabar melihat aksi-aksi hebat daripada pemain skuad Harimau Malaya seperti Safawi Rasid, Brendan Gan, Dion Cools dan Arif Aiman menentang barisan bintang Thailand yang terdiri daripada Chanathip Songkrasin, Teerasil Dangda, Supachok Saranchat dan Theerathon Bunmathan.
Pemenang perlawanan ini akan bertemu Trinidad & Tobago atau Tajikistan di perlawanan akhir yang berlangsung pada 25 September. Manakala pasukan yang tewas, akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
Ketua jurulatih, Kim Pan-gon telah mengekalkan seramai 16 daripada 23 pemain yang telah membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 pada kempen kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu.
Lapan pemain baharu yang menyertai skuad kali ini ialah dua penjaga gol Rahadiazli Rahalim dan Kalamullah Al Hafiz, serta Azam Azmi Murad, Mukhairi Ajmal Mahadi, Sharul Nazeem Zulpakar, Brendan Gan, Zhafri Yahya dan Declan Lambert.
Ayuh sama-sama kita menyokong skuad Harimau Malaya dengan menonton perlawanan antarabangsa yang disiarkan di TV9. Anda juga boleh menonton menerusi saluran Unifi TV 109, Astro 149 dan strim di tonton!