Perak terus menambah kekuatan di jentera pertahanan selepas baharu sahaja mengumumkan kehadiran pemain dari Korea Selatan, Kim Youn Do bagi menyertai kelab tersebut.

Baca Juga:

Perkembangan terbaharu mengenai kehadiran pemain berusia 20 tahun itu disahkan Perak menerusi video pengenalan pemain di laman Youtube TBG TV.

Ia merupakan rekrut kedua berturut-turut di posisi sama dilakukan oleh Perak yang mana sebelum ini membawa masuk pemain import dari Filipina, Jesper Gunnar Fernando Nyholm.

Memiliki tubuh badan yang cukup ideal sebagai seorang pertahanan tengah dengan ketinggian 189cm, Kim merupakan bekas pemain bagi skuad bawah 19 tahun Daegu FC.

Khidmat Kim Youn Do sudah pasti ditagih oleh pengendali pasukan, Yusri Che Lah dalam usahanya membentuk gandingan mantap bersama Jesper Nyholm tatkala jentera pertahanan Perak dilihat cukup rapuh selepas mengharungi 15 perlawanan.

Ia jelas dibuktikan apabila pintu gol Perak bocor sebanyak 34 gol dan menjadi pasukan ketiga terbanyak dibolosi lawan, dibelakang Kelantan United dan Kelantan.

Keadaan yang turut menyebabkan Perak hanya mampu mencatatkan dua kemenangan, tiga keputusan seri dan 10 kekalahan bagi menghuni tangga ke-11 dalam kempen Liga Super 2023 setakat ini.

Selain Youn Do, Perak turut memiliki tiga lagi pemain dari Korea Selatan iaitu Seo Seonung yang sudah menjaringkan tiga gol dalam Liga Super.

Manakala, Sim Hyunki dan Lee Joohan pula turut didaftarkan dalam pasukan tetapi masih belum membuat sebarang penampilan bersama skuad utama Perak.