Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menyatakan bahawa masih terlalu awal untuk beliau memikirkan pengganti Njoku Jacob.

Baca Juga:

Jacob yang merupakan bekas penyerang Kelantan United itu telah mencapai kata sepakat bersama pasukannya untuk menamatkan kontrak dengan skuad Badak.

Namun, ketiadaan Jacob itu masih boleh ditampung dengan kehadiran enam pemain import termasuk Park Tae-soo, Telmo Ferreira Castanheira dan Saddil Ramdani.

“Kita masih mempunyai pemain-pemain import dan tempatan yang lain di mana saya percaya mereka mampu untuk mengawal permainan.”

“Walaupun masih terlalu awal untuk memikirkan mana-mana pemain namun kita akan cuba mendapatkan beberapa pemain untuk dinilai dahulu.”

“Nanti kita akan memutuskan siapa yang akan ganti tempat Njoku (Jacob),” ujar Kim Swee menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Malaysian Football League.

Kim Swee juga menekankan bahawa mereka sudah bersedia untuk menempuh perlawanan seterusnya di laman sendiri.

Pertembungan Sabah dan Terengganu FC yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas pada 19 Mei kini menjadi fokus Kim Swee.

“Kita telah pun kembali berlatih seperti mana kebiasaannya dan tiada perbezaan dari segi taktikal yang ingin dilakukan.”

“Prestasi pasukan yang telah ditonjolkan dalam tiga perlawanan sebelum ini perlu dikekalkan supaya tidak ketinggalan di kancah kedudukan Liga Super.”

“Saya harap Sabah mampu mengekalkan rentak kemenangan di tempat sendiri nanti,” tegas beliau lagi.