Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon bangga dengan prestasi pemain selepas mereka mengikat dua pasukan dalam kelompok ranking 100 dunia, Syria (2-2) dan China (1-1) pada aksi persahabatan antarabangsa di Chengdu.

Baca Juga:

Dua keputusan tersebut bukan sahaja memberikan keyakinan kepada pemain tetapi turut berada dalam landasan terbaik untuk membantu meningkat kedudukan ranking negara.

“Ia adalah perlawanan yang sangat bagus menentang pasukan China yang lebih kuat dan berada di peringkat tinggi, kami juga banyak belajar daripada perlawanan ini. Saya sangat berbangga dengan semua pemain.

“Apa yang mereka lakukan sungguh membanggakan rakyat Malaysia, ia harus dihormati. Sebagai jurulatih, saya tiada aduan, apa yang mereka lakukan adalah hebat. Bagi pasukan kami, ia adalah keputusan yang sangat baik,” kata Kim Pan Gon seperti dipetik dalam Harian Metro.

FOTO: FAM

Malah, corak permainan yang ditunjukkan oleh skuad Harimau Malaya kali ini turut mendapat pujian daripada para peminat bola sepak tempatan.

Mereka kini mempunyai satu lagi sasaran iaitu membawa skuad Harimau Malaya dalam kelompok ranking 100 dunia.

“Menang atau kalah itu tidak penting, prestasi kami adalah yang paling penting. Sasaran kita sudah ada, kita cuba mencipta satu lagi sejarah untuk berusaha berada pada ranking lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas aksi dengan China di Stadium Phoenix Mountain, di Chengdu, malam tadi.

Berdasarkan rekod, Kim Pan Gon pernah membantu Hong Kong mencatat keputusan seri menentang China ketika saingan Kelayakan Piala Dunia 2018.

Namun, beliau yakin Malaysia kali ini cukup berbeza dan mampu mengejutkan mana-mana pasukan gergasi di Asia.