Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon tetap bangga dengan prestasi pemainnya walaupun gagal julang Piala Maharaja Thai (King’s Cup) selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti (0-3) kepada Tajikistan di Chiang Mai semalam.

Baca Juga:

Sepanjang 90 minit perlawanan, barisan pertahanan termasuk penjaga gol, Syihan Hazmi beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya lawan sekaligus menyumbang kepada keputusan seri tanpa jaringan.

Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan, Kim Pan-gon sudah menjangkakan perlawanan akan menjadi sukar kerana berdepan lawan yang mempunyai fizikal lebih baik.

“Kami sudah jangka perlawanan akan menjadi sukar kerana berdepan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi (109 dunia) selain mereka mempunyai kelebihan fizikal. Namun pemain Malaysia telah memberi aksi persembahan yang bagus dari segi mental dan saya sangat bangga dengan aksi pemain.

“Tiada penyesalan, kami sudah lakukan yang terbaik dan akan menilai semula pasukan sebelum membuat persiapan hadapi Piala AFF 2022,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Harimau Malaya mempunyai lebih banyak peluang untuk mendapatkan jaringan pada babak pertama tetapi penyudah kurang berkesan menggagalkan usaha mereka.

Aksi lebih tersusun dapat disaksikan pada babak kedua dengan Safawi Rasid melakukan rembatan dari luar kawasan penalti. Percubaan tersebut bagaimanapun ditepis keluar penjaga gol, Rustam Yatimov pada minit ke-57.

Namun, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed di gawang skuad negara meneruskan kecemerlangan dalam menafikan tiga percubaan jarak jauh yang cukup menarik diledakkan oleh Mukhammadzhon Rakhimov, Ekhson Pandzhshanbe dan Manuchekhr Safarov.

Anak buah Petar Segrt berpeluang untuk mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-84 tetapi jaringan Rustam Soirov dibatalkan kerana beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Ketumpulan penyudah itu menyebabkan pemenang edisi ke-48 ini terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Kegagalan Dion Cools, Nazmi Faiz Mansor dan Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti jelas menghampakan untuk kejuaraan menjadi milik negara Asia Tengah itu walaupun Ahmad Syihan Hazmi berjaya menyelamatkan sepakan pertama Akhtam Nazarov.

Sementara itu, Thailand menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Trinidad & Tobago 2-1 hasil jaringan Channarong Promsrikaew dan Suphacok Sarachart.