Ketua Jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon yakin Malaysia akan menamatkan kemarau 16 tahun untuk layak ke Piala Asia 2023 secara merit berdasarkan keputusan undian rasmi pusingan kelayakan pada minggu lepas.

Malaysia yang diundi dalam kumpulan E akan membuka kempen kelayakan menentang Turmenistan pada 8 Jun sebelum bertemu pasukan pilihan, Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh 3 hari kemudian. Semua perlawanan ini berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ini akan menjadi ujian pertama untuk Kim Pan-gon yang mengambil tugas ketua jurulatih daripada Tan Cheng Hoe dan beliau menyasarkan mengutip sekurang-kurangnya 7 mata untuk tempah tiket ke Piala Asia 2023.

“Jujurnya, ini bukanlah undian yang menarik dan ia akan menjadi lebih sukar. Perlawanan menentang Turkmenistan cukup penting dan kami perlu mendapatkan 3 mata penuh.

“Kami juga tidak boleh kalah menentang Bangladesh. Kita sasar 7 mata untuk berada dalam posisi layak (ke Piala Asia 2023),” katanya.

Berdasarkan rekod, Malaysia tidak pernah bertemu Turkmenistan dan mempunyai jumlah kemenangan yang banyak dalam perlawanan menentang Bangladesh. Skuad Harimau Malaya juga pernah menewaskan Bahrain 2 kali dalam 14 pertemuan di pentas antarabangsa.

“Ianya akan menjadi perjalanan yang sukar tetapi kami akan meningkatkan cabaran untuk berada di pusingan akhir. Kami memerlukan sokongan padu daripada para penyokong.

“Cuaca, persekitaran dan stadium, ini semua merupakan satu kelebihan kepada kami. Kita akan gunakan kelebihan ini untuk mara ke Piala Asia 2023,” jelasnya.

Hanya 6 juara kumpulan dan 5 pasukan tempat kedua terbaik akan mendapat tiket ke Piala Asia 2023 di China bersama 13 lagi pasukan yang telah mengesahkan tempat lebih awal.

Sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan, Malaysia dijadualkan menentang Singapura dan Filipina dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Singapura pada 21 hingga 29 Mac 2021.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

RASMI: Malaysia Dipilih Sebagai Tuan Rumah Kelayakan Piala Asia 2023

Datuk Hamidin Jelaskan Sebab Sebenar Sumareh Tolak Panggilan Ke Skuad Kebangsaan

Kim Pan-gon Mula Tugas Latih Harimau Malaya Pada Bulan Mac 2022