Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) nampaknya sudah mula mengambil langkah penambahbaikan seperti yang dicadangkan oleh Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya pada bulan Januari lepas.

Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell melalui satu kenyataan rasmi memaklumkan Kim Pan-gon akan berkhidmat sebagai Ketua Jurulatih dan Pengurus Pasukan, sebagaimana tanggungjawab digalas oleh Nelo Vingada.

Vingada pernah menjadi Ketua Jurulatih merangkap Pengurus Pasukan Kebangsaan pada tahun 2017.  Jawatan ketua jurulatih merangkap pengurus pasukan ini diperkenalkan oleh FAM pada tahun 2001 ketika zaman Allan Harris walaupun banyak kelab dan pasukan luar negara telah lama mengamalkannya.

Selepas zaman itu, jawatan pengurus skuad Harimau Malaya kerap dipegang oleh para pegawai kanan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM.

Namun, Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya mahu amalan pelantikan pengurus pasukan dalam kalangan pegawai-pegawai FAM dihentikan supaya Ketua jurulatih mempunyai kuasa penuh untuk memilih barisan pemain yang mantap.

Aksi persahabatan antarabangsa menentang Filipina di Stadium Nasional Singapura pada malam ini merupakan tugasan pertama Kim Pan-gon sejak diumumkan secara rasmi bulan lepas.

FOTO: FAM

O’Donell turut mengumumkan beberapa perancangan untuk pasukan kebangsaan termasuk menyediakan satu templat laporan yang perlu diisi oleh semua jurulatih.

“Templat laporan Pasukan Kebangsaan telah pun dimuktamadkan selepas berunding dengan staf pasukan kebangsaan. Pada masa akan datang, semua pasukan kebangsaan akan menggunakan templat dan proses membuat laporan yang seragam.

“Tempoh tujuh hari telah ditetapkan sebelum jendela FIFA pada Mac (dua perlawanan persahabatan bertemu Filipina dan Singapura) dan lapan hari ditetapkan sebelum jendela FIFA pada Jun. FAM dan Jabatan Pasukan Kebangsaan akan berkerjasama rapat dengan MFL dalam memastikan tempoh persiapan lebih panjang.

“Pasukan Prestasi Tinggi sudah dihimpunkan (ahli fisiologi, psikologi, pakar pemakanan) sebagai tambahan kepada staf sokongan sedia ada. Pengurus Prestasi Tinggi (Reuben Jude Balraj) telah dilantik.

“Kesemua staf akan melapor diri kepada Ketua Jurulatih pasukan-pasukan serta juga kepada Pengurus Prestasi Tinggi. Sebahagian daripada peranan Pengurus Prestasi Tinggi ialah menyusun keputusan-keputusan ujian, analisis perlawanan, laporan kecederaan dan sebagainya untuk digunakan sebagai perbandingan dan juga perancangan masa depan,” kata O’Donell dalam kenyataan rasmi.

Beliau turut menjelaskan sasaran dalam sesuatu pertandingan hendaklah ditetapkan selepas berunding dengan barisan jurulatih, Pengarah Teknikal dan Exco FAM.

“Sasaran hendaklah diletakkan selepas perundingan dibuat oleh semua pihak yang berkaitan,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

11 Pemain JDT Tersenarai Dalam 25 Pemain Ke FAS Tri-Nations Series 2022 Di Singapura

Masalah Keluarga Punca Rizal Ghazali Tidak Dapat Sertai Skuad Kebangsaan

Zhafri Yahya Akhirnya Dipanggil Sertai Skuad Harimau Malaya

Kim Pan-gon Minta Semua Pihak Bersabar

Dion Johan Cools Tidak Sabar Beraksi Di Hadapan Penyokong Harimau Malaya