Aksi persahabatan antarabangsa Harimau Malaya menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea pada bulan ini jadi medan ketua jurulatih, Kim Pan Gon untuk uji kemampuan pemain berdepan pasukan berbadan besar.

Baca Juga:

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu menegaskan ia penting untuk pasukannya sebagai persiapan fizikal dan taktikal sebelum bertarung dalam saingan Piala Asia 2023 tahun depan.

Menurutnya, Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea dibarisi oleh ramai pemain yang mempunyai fizikal yang tegap dan besar sekaligus bakal jadi ujian terbaik untuk para pemainnya.

“Situasi ini sedikit sebanyak akan memberi tentangan yang hebat buat pemain selain ia juga dapat membantu kami membentuk permainan yang lebih mantap dan bertenaga apabila menentang pasukan yang mempunyai kelebihan fizikal dan sebagainya.

“Ia juga satu ujian yang baik buat kami selain akan memberi peluang kepada pemain untuk membentuk karakter dan mengekalkan rentak permainan kerana kami ingin memberikan persembahan yang terbaik untuk penyokong di laman sendiri berdepan pasukan di ranking lebih tinggi dan rendah.

“Ini memang dalam perancangan selain strategi kami untuk memberi keyakinan kepada pemain, bermain di tempat sendiri sudah pastinya saya mahukan kemenangan dalam dua pertemuan itu,” katanya dipetik dalam Berita Harian.

Seramai 10 pemain baharu dipanggil kali ini termasuk lima pemain dari skuad Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 iaitu Safawi Rasid, Mukhairi Ajmal Mahadi, Haqimi Azim Rosli, Azam Azmi Murad dan Lee Tuck; tiga pemain yang kembali dipanggil iaitu Natxo Insa, Junior Eldstal dan Shahrel Fikri Md Fauzi serta penjaga gol, Azri Ab Ghani dan muka baharu, Syahir Bashah.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi menentang Kepulauan Solomon pada Rabu, 14 Jun 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 9.00 malam sebelum menentang Papua New Guinea bagi aksi kedua pada Selasa, 20 Jun 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 9.00 malam.