Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mahu pemainnya beraksi dengan bijak menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang Kepulauan Solomon malam ini.
Baca Juga:
- Tiga Pemain Pilihan Untuk Dijadikan Kapten Harimau Malaya
- Romel Morales Semakin Hampir Sarung Jersi Harimau Malaya
- Extra Joss Rakan Penaja Baharu Harimau Malaya
Bercakap dalam sidang media, beliau mengakui pasukannya tidak mampu bermain cantik dalam setiap perlawanan namun tetap memburu kemenangan dengan corak permainan yang lebih efektif.
Perlawanan persahabatan yang dirancang adalah untuk memastikan pemainnya cukup bersedia menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.
“Kami ada matlamat yang jelas di Piala Asia. Lawan kami di Qatar cukup berkualiti dan kami tidak mampu bermain cantik dalam setiap perlawanan semata-mata nak puaskan hati setiap orang.
“Kami perlu bermain dengan lebih bijak dan efektif untuk memenangi setiap perlawanan. Saya tahu penyokong mahu corak permainan yang menghiburkan tetapi ini tak boleh terjadi lawan pasukan kuat.
“Kami akan lakukan yang terbaik untuk memenangi setiap perlawanan di tempat sendiri,” jelas Kim Pan Gon.
Bagaimanapun, hasrat Kim Pan Gon untuk menguji Shahrel Fikri di posisi serangan malam ini tidak menjadi kenyataan apabila penyerang Negeri Sembilan itu dilaporkan mengalami kecederaan.
“Kami mahu mencuba penyerang lain dalam liga supaya ada banyak pilihan. Saya akan gembira kalau Shahrel boleh beraksi dengan baik kerana kami akan ada satu lagi senjata rahsia.
“Untuk persediaan menentang Kepulauan Solomon, kami hanya mempunyai 3 hari menjalani latihan dan semuanya dalam keadaan yang bagus,” tambah Pan Gon.
Sementara itu, pemain pertahanan kanan, Matthew Davies berharap skuad Harimau Malaya dapat meneruskan rentak kemenangan bagi memperbaiki kedudukan ranking FIFA.
“Sangat penting untuk bermain menentang pasukan ranking tinggi seperti Kepulauan Solomon (134 dunia) bagi persiapan menghadapi tugasan yang lebih besar.
“Kami perlu berhati-hati, bermain ikut taktikal dan sudahkan peluang yang terhidang,” kata Davies.