Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui gembira melihat prestasi pemain yang bangkit daripada ketinggalan 0-2 sebelum ikat Syria 2-2 pada separuh masa kedua ketika aksi persahabatan antarabangsa di Chengdu, China semalam.
Baca Juga:
- TV9 Siar Dua Aksi Harimau Malaya Menentang Syria Dan China
- Perlawanan Persahabatan: Malaysia Bangkit Ikat Syria 2-2
- Malaysia Uji 2 Pasukan Ranking 100 Teratas FIFA, China Dan Syria
Keputusan tersebut sekaligus memberikan keyakinan kepada pemain dan Kim Pan Gon turut menjelaskan ia adalah mentaliti sebenar Harimau Malaya yang bangkit tidak putus asa dalam mencari jaringan penyamaan.
“Ini keputusan yang bagus dimana kami ketinggalan 2-0 di separuh masa pertama tetapi kami bangkit menyamakan kedudukan untuk mengembalikan keyakinan.
“Pada pandangan saya, kita beraksi dengan baik sekali dan berjaya bersaing dengan pasukan di ranking 94 dunia. Cuma dua kesilapan di separuh masa pertama yang buat kita ketinggalan,” kata Kim Pan Gon selepas tamat perlawanan.
Aksi persahabatan kedua menentang China pada hari sabtu ini dilihat sebagai ujian sebenar untuk menilai kemampuan Harimau Malaya menentang pasukan lebih kuat.
Kim Pan Gon juga mahu mencuba beberapa taktikal baharu menentang pasukan yang berada di ranking 80 dunia itu.
“Untuk perlawanan menentang China, kami mahu cuba beberapa taktikal baru dan juga menilai tahap sebenar pasukan kami menentang pasukan ranking 80 dunia.
“Karakter sebenar skuad Harimau Malaya ialah agresif, sentiasa beri tekanan dan bermain dengan corak menyerang untuk memberi keputusan terbaik,” jelas Pan Gon.
Pada aksi semalam, skuad Harimau Malaya ketinggalan selepas 12 minit perlawanan berlangsung apabila rembatan Mardik Mardikian berjaya menewaskan penjaga gol Harimau Malaya, Syihan Hazmi Mohamed.
Yassin Samia menambah gol kedua Syria dengan menanduk masuk bola sepakan penjuru Mahmoud Al Mawas, empat minit sebelum tamat babak pertama.
Percaturan Pan Gon membawa masuk Akhyar Rashid bagi menggantikan Arif Aiman membuahkan hasil selepas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berjaya menyudahkan umpanan Endrick Dos Santos pada minit ke-51 untuk merapatkan kedudukan buat Harimau Malaya.
Darren Lok kemudian meledak gol penyamaan pada minit ke-85 apabila melakukan tindakan susulan selepas bola rembatan seorang lagi pemain gantian, Safawi Rasid ditampan penjaga gol Syria, Ahmad Madanieh.