Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon memuji prestasi pemain selepas berpesta gol membelasah Papua New Guinea 10-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam.
Baca Juga:
- Kim Pan Gon Mahu Pemain Beraksi Dengan Lebih Bijak
- Kehadiran Kim Pan Gon Tingkatkan Semangat Pemain Malaysia B-22
- Kim Pan Gon: Tahap Kecergasan Pemain Masih Tidak Memuaskan
Menurut Pan Gon, ia adalah hasil kerja keras pemain dan beliau mengakui sangat gembira dengan persembahan yang ditunjukkan oleh mereka.
“Saya sangat gembira tetapi ini bukan penamat kempen, baru satu perlawanan dan inilah corak permainan yang kami mahukan menentang pasukan kuat nanti.
“Macam separuh masa kedua, ia bukan sesuatu yang saya sendiri boleh ajar, ini datang secara semula jadi daripada pemain, ianya datang dari lubuk hati mereka. Saya rasa tahap keyakinan mereka semakin meningkat.
“Mereka cuba untuk memahami model permainan dan pendekatan taktikal kami. Kami berikan banyak maklumat kepada pemain, saya dapat lihat mereka sangat bijak dan saya bangga dengan mereka,” kata jurulatih dari Korea Selatan itu.
Kejayaan itu menyaksikan Harimau Malaya merakam kemenangan keempat berturut-turut dalam aksi persahabatan sejak Mac lepas dan mencatat kemenangan terbesar sejak menewaskan Bhutan 7-0 semasa perlawanan persahabatan pada April 2018.
Malaysia dijangka akan menghadapi dua lagi perlawanan persahabatan pada bulan September di tempat lawan. Difahamkan mereka akan menentang pasukan yang beraksi di Piala Asia dan berada di ranking lebih tinggi selepas ini.
Perlawanan persahabatan yang dirancang adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya cukup bersedia menghadapi saingan Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.