Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan acara kemuncak Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2023 (ABK23) yang bakal berlangsung pada hujung Disember depan.

Acara tahunan berprestij bola sepak tempatan itu diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada pencapaian yang telah diraih pelbagai pihak kepada arena bola sepak tanah air terutamanya kepada pemain dan jurulatih dalam kancah Liga Malaysia musim ini.

Lebih menarik, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon kali ini akan memilih sendiri pemenang untuk Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) daripada kalangan pemenang empat kategori, iaitu Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik dan Penyerang Terbaik.

Sementara itu bagi kategori Anugerah Pasukan Terbaik akan diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Teknikal MFL, Anugerah Fair Play akan ditentukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), manakala Fan XI dan Gol Terbaik Liga Malaysia 2023 pula menerusi undian penyokong melalui platform SurveyMonkey bermula minggu depan.

Musim lalu, ABK22 diadakan secara virtual menyaksikan sebanyak 16 kategori anugerah dipertandingkan membabitkan semua pertandingan iaitu Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super, Piala FA, Liga Premier dan Piala Malaysia.

Kali ini MFL berbesar hati apabila dapat kembali menganjurkan acara berprestij ini secara fizikal yang bakal menyaksikan persaingan lebih menarik dengan kategori baharu menjadikan keseluruhan 16 kategori dipertandingkan.

Berikut adalah senarai 16 kategori anugerah yang dipertandingkan;

1. Anugerah Fair Play
2. Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Piala MFL
3. Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super
4. Kasut Emas – Penjaring Terbanyak Liga Super
5. FAN XI
6. Penjaga Gol Terbaik
7. Pertahanan Terbaik
8. Pemain Tengah Terbaik
9. Penyerang Terbaik
10. Pemain Import Terbaik
11. Pemain Muda Terbaik
12. Pemain Terbaik Piala MFL
13. Jurulatih Terbaik
14. Pasukan Terbaik
15. Gol Terbaik Liga Malaysia 2023
16. Most Valuable Player (MVP)

Musim ini terdapat penambahan dua kategori iaitu Pemain Terbaik MFL dan Penjaring Terbanyak Piala MFL di mana pertandingan Piala MFL ini julung kali diadakan pada tahun ini membabitkan pasukan-pasukan bawah 23 tahun.

Seramai 398 daripada 782 pemain telah disenarai pendek berdasarkan penampilan bersama kelab masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK23 bagi menyenaraipendekkan 10 pemain terbaik dalam setiap kategori.

Para pemain dipilih dalam setiap kategori mengikut posisi yang didaftarkan oleh pasukan masing-masing.

14 ketua jurulatih dan 14 ketua pasukan Liga Super, 15 ketua jurulatih dan 15 ketua pasukan Piala MFL serta 29 wakil media turut terlibat dalam membuat senarai 10 pemain terbaik bagi 8 kategori.