Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku ketika proses penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai ini.
Kedua-dua persatuan ini mahu proses penjualan tiket berjalan lancar dan tidak mahu episode lalu berulang dimana isu seperti tiket habis awal serta peminat yang berhimpit-himpit antara satu sama lain berulang.
Setiausaha Eksekutif KFA, Shahrul Samsudin berkata pihaknya telah belajar dari kesilapan lampau dan mahu bekerjasama bersama SPRM bagi memastikan proses jualan tiket lancar.
“Kami sudah belajar daripada kesilapan dan kali ini kami akan berhubung dengan pihak polis serta SPRM untuk menentukan kaedah terbaik.
“Perkara ini akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan dihebahkan kepada penyokong selewat-lewatnya minggu depan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
PAFA Cari Kaedah Penjualan Tiket Final Piala FA 2019 https://t.co/qjuuNjrRNb
— VOCKET FC (@vocketfc) July 1, 2019
Pada masa yang sama, Setiausaha Kehormat PAFA, Tajul Hasnan Omar berkata selain menjual tiket di Stadium Negeri, PFA bercadang untuk mengagihkan tiket di setiap daerah di negeri itu.
“Selepas berbincang dengan Menteri Besar, kami sudah tetapkan untuk bekerjasama dengan SPRM untuk pastikan tiada ketirisan berlaku. SPRM juga akan bersama-sama kami melihat dan menunggu penjualan tiket di setiap daerah, membabitkan peruntukan 3,000 atau 4,000 ke setiap daerah,” katanya.