Satu kolaborasi antara Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan agensi pelancongan haji dan umrah, Skymatt Travel & Services Sdn Bhd telah diadakan dalam satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) yang berlangsung di Hotel Furama Bukit Bintang, Kuala Lumpur, malam tadi.

Program Kembara Umrah & Ziarah PFAM merupakan inisiatif unik PFAM dalam membantu para pemain bola sepak profesional menunaikan ibadah haji dan umrah menerusi pakej yang ditawarkan bersama Skymatt Travel & Services.

Objektif perjanjian kolaborasi ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan selesa kepada ahli PFAM yang bagi tujuan umrah serta membantu ahli dari segi bimbingan serta panduan rohani ketika berada di tanah suci.

Menurut Presiden PFAM, Safee Sali “Program Kembara Umrah & Ziarah PFAM ini merupakan cetusan idea Farizal Marlias yang merupakan bendahari PFAM.

Kredit Foto: Syamim Rosli I PFA Malaysia

“Kami merasakan hal ini merupakan inisiatif yang baik selain daripada melihat aspek kebajikan pemain di atas padang, kita juga ingin memperjuangkan aspek kebajikan di luar padang.”

“Program ini merupakan program yang sangat penting untuk menunjukkan bahawa PFAM sangat prihatin terhadap kebajikan pemain daripada segala sudut,” tambah beliau lagi.

Difahamkan, ‘rombongan’ PFAM hasil kerjasama dengan Skymatt Travel & Services Sdn Bhd ini dijangka akan berangkat ke Arab Saudi pada 26 Disember dengan jangkaan 40 hingga 80 orang pemain serta ahli keluarga yang akan menyertai Kembara Umrah & Ziarah PFAM ini.

PFAM akan terus komited dalam memperjuangkan dan membantu komuniti pemain bola sepak profesional secara keseluruhan dari segi kebajikan dan pembangunan pemain.