Kelab Eredivisie Belanda, SC Heerenveen memutuskan untuk tidak menyambung kontrak pemain pertahanan skuad kebangsaan Vietnam, Doan Van Hau kerana gaji pemain itu terlalu tinggi.
Heerenveen sebelumnya mahu memperpanjang kontrak Van Hau yang dipinjam daripada Hanoi FC. Akan tetapi, pandemik COCID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini menyebabkan Heerenveen mengambil langkah berhati-hati khususnya dari segi perbelanjaan.
Pengarah Teknikal kelab, Gerry Hamstra berkata meskipun pihaknya sudah menyiapkan perancangan untuk Van Hau, namun situasi semasa memaksa kelab untuk tidak menyambung kontrak pemain itu.
“Pihak kelab mahu menyambung kontrak beliau. Akan tetapi, disebabkan pandemik COVID-19, kelab tidak dapat menampung gaji beliau yang tinggi. Kami perlu berhati-hati terutamanya dari segi pembayaran gaji pemain.
“Oleh sebab itu kami tidak menyambung kontrak Van Hau kerana gagal menemui kata sepakat mengenai gaji. Realiti ini harus kami terima meskipun kami telah menyiapkan perancangan untuknya memandangkan Van Hau telah beradaptasi dengan baik bersama pasukan.
“Sebagai wakil kelab, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Van Hau di atas khidmat beliau sepanjang bersama Heerenveen. Kami berharap beliau dapat meraih kejayaan pada masa akan datang,” kata Gerry.
Van Hau menyertai Heerenveen pada tahun lalu dan setakat ini, beliau banyak terlibat dengan pasukan pembangunan kelab. Pemenang Piala AFF Suzuki 2018 itu hanya beraksi sebanyak dua kali bersama pasukan utama, lebih tepatnya dalam saingan KNVB Cup.
Baca artikel lain mengenai Doan Van Hau di sini:
Hanoi FC Sanggup Bayar Gaji Doan Van Hau RM2.2 Juta Setahun Untuk Kekal Berada Di Belanda
Media Thailand Anggap Theerathon Bunmathan Lebih Baik Berbanding Doan Van Hau
Doan Van Hau Bakal Jadi Penerima Gaji Kedua Tertinggi Di SC Heerenveen