Pengadil kontroversi, Zulkarnain Zakaria atau dikenali sebagai ‘pengadil botak’ dijangka akan kembali bertugas dalam saingan Liga Malaysia musim depan apabila kelibatnya kelihatan ketika latihan fasa kedua ‘Video Assistant Referee’ (VAR).

Baca Juga:

Malah, kemunculannya menerusi gambar yang dikongsi oleh laman facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menarik perhatian peminat bola sepak tempatan.

Zulkarnain bersama 39 orang pengadil tempatan kini sedang membuat persiapan untuk pelaksanaan sistem VAR di Liga Malaysia.

Kelibat Zulkarnain Zakaria ketika fasa kedua latihan VAR di Wisma FAM

Beliau cukup dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana sering menimbulkan kontroversi dalam beberapa perlawanan Liga Malaysia.

FAM sebelum ini telah membuat keputusan menggantung Zulkarnain Zakaria selepas didapati terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti ketika aksi Liga Super 2023, Sabah menentang Penang pada 17 Mac lalu.

Selepas perlawanan, Akmal Rizal menerusi laman media sosial miliknya meluahkan rasa tidak puas hati mengenai prestasi yang ditampilkan oleh Zulkarnain dimana beliau melabel pengadil itu sebagai perosak bola sepak Malaysia.

Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang diketuai oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata keputusan pengantunggan itu dibuat selepas meneliti laporan daripada Penilai Pengadil perlawanan tersebut serta klip-klip rakaman video setiap insiden berkenaan.

Disebabkan itu, FAM telah membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.

Sivasundaram juga menegaskan FAM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian ditetapkan pada perlawanan-perlawanan Liga Malaysia yang akan datang.

Diharapkan agar Zulkarnain Zakaria tidak mengulangi kesilapan sama dan sistem VAR mampu membantunya membuat keputusan yang adil dan tepat.