Kemelut antara Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dengan pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akhirnya selesai.
Permasalahan tersebut dapat diselesaikan setelah Presiden FAS, Datuk Posa Majais bertemu dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin semalam.
“Selepas mendengar nasihat dan pandangan Hamidin, beliau (Posa) bersetuju untuk tidak berterusan memanjangkan kemelut berkenaan.
“Hasil kesepakatan bersama yang dicapai, Posa akhirnya akur isu yang dibangkitkannya itu dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL supaya dapat diselesaikan.
“Selain menerima dan menurut nasihat berkaitan bola sepak yang diberikan Hamidin, Posa turut menyatakan selaku presiden salah satu ahli gabungan FAM, beliau akan memastikan FAS kekal menyokong FAM,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan FAM.
Posa sebelum ini mendakwa MFL gagal untuk menjaga kepentingan pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia.
Beliau turut menggesa CEO MFL, Kevin Ramalingam untuk meletak jawatan.