Ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Sathianathan menegaskan penggunaan formasi 4-3-3 yang digunakan secara menyeluruh dalam modul DNA Bola Sepak Malaysia tidak akan berjaya sekiranya pemain tidak mempunyai kemahiran yang baik secara individu.

Menurut Sathia, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu memberi perhatian untuk meningkatkan lagi kemahiran pemain khususnya di peringkat akar umbi bagi memastikan segala perancangan yang telah ditetapkan berjalan dengan lancar.

B.Sathianathan
Sumber Gambar: Stadium Astro

“Kita selalu mendengar pujian jurulatih luar yang menyatakan pemain kita bagus daripada segi teknikal. Namun, daripada segi kemahiran individu, itu kekurangan pemain kita. Kemahiran individu pemain perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan mereka faham apa yang perlu dilakukan dan apa fungsi mereka dalam taktikal mahupun formasi yang diterapkan,” kata Sathia menurut laporan Berita Harian.

Jurulatih yang menjawat sebagai Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) ini turut memberi pandangan dimana selain kemahiran individu pemain, aspek lain seperti pemikiran yang pantas untuk membuat keputusan, kelajuan dan ketika bertahan juga wajib diberikan perhatian.

Sebelum ini, FAM telah melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia yang diberi nama Cara Malaysia dan formasi 4-3-3 menjadi teras kepada DNA tersebut.

Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo menjelaskan formasi itu adalah satu pendekatan yang logik selepas menilai kemampuan pemain negara yang diyakini dapat menterjemahkan falsafah bola sepak yang diinginkan dengan baik.

Sebagai rekod, penyelidikan terkini daripada Persatuan Kelab Eropah (ECA) menunjukkan majoriti 96 pasukan yang menjadi sebahagian penyelidikan menggunakan sistem permainan yang konsisten iaitu 4-3-3.