Skuad muda negara berjaya meraih kemenangan pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2023 selepas menundukkan Sri Lanka 3-0 di Stadium MFF Ulaanbaatar, sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemenangan tersebut meletakkan skuad kendalian Hassan Sazali Waras itu ditempat kedua dengan empat mata sekali gus wajib menundukkan gergasi Asia yang merupakan pendahulu kumpulan, Korea Selatan pada aksi terakhir Ahad ini untuk layak secara automatik ke Uzbekistan.

Penyudah tumpul jelas sekali lagi menjadi masalah besar buat barisan pemain negara bagi meraih kemenangan dengan jurang lebih besar walaupun menguasai sebahagian permainan serta mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Selepas 30 minit bergelut untuk mendapatkan jaringan, Muhammad Aliff Izwan Yuslan meletakkan skuad negara dihadapan berselang seminit kemudian.

Berpunca hantaran lambung dari tengah padang oleh Adam Farhan Mohd Faizal yang melepasi tiga pemain pertahanan lawan memberikan peluang buat Muhammad Aliff Izwan Yuslan untuk melakukan percubaan bagi menewaskan penjaga gol Sri Lanka, W.S Banuka Croos.

Empat minit kemudian, Nazrin Mohamad Nasir pula mendapat peluang keemasan dalam kawasan penalti tetapi Banuka Croos lebih bersedia untuk menafikan percubaan jarak dekat itu.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

Malaysia mendapat jaringan kedua pada minit ke-41 tetapi Alif Izwan dipersalahkan kerana menggunakan tangan dalam usahanya menyudahkan peluang hasil hantaran jauh diterimanya.

Malang menimpa Sri Lanka pada minit ke-54 apabila R.V Navod Lakshita diperintahkan keluar padang berikutan kad kuning kedua yang diterimanya kerana kekasaran terhadap Marwan Abdul Rahman.

Kesempatan itu digunakan sebaiknya pemain negara untuk menambah jaringan kedua menerusi Adam Farhan pada minit ke-70.

Jaringan tersebut terhasil berikutan kegagalan pertahanan dan Banuka menghalang hantaran lintang Muhammad Alif Farhan Fauzi lalu mudah buat Adam Farhan untuk menolak masuk gol kedua.

Aliff Izwan menambah jaringan ketiga pada masa kecederaan bagi mengesahkan kemenangan 3-0 sekali gus memberikan sedikit sinar harapan buat skuad muda negara menjelang misi hidup mati bertemu Korea Selatan nanti.