Pasukan Kelantan yang kini berada di kedudukan kedua terakhir saingan Liga Super Malaysia 2023 telah mengeluarkan arahan larangan untuk membawa masuk drum ke dalam Stadium Sultan Muhammad IV.

Baca Juga:

Larangan itu difahamkan berkuatkuasa malam ini yang merupakan aksi ke-10 buat Kelantan dalam saingan liga bertemu  Perak.

Perkembangan terkini itu disahkan Kelantan menerusi satu hantaran yang dimuatnaik di laman Facebook rasmi kelab tersebut, semalam.

“Berikut merupakan barangan yang dilarang dibawa masuk ke dalam Stadium Sultan Muhammad IV pada perlawanan Liga Super 2023, menentang Perak FC.”

“Kerjasama anda amat kami hargai, sekiranya didapati ingkar pada arahan, pihak kami akan menyerahkan kepada pihak keselamatan untuk tindakan selanjutnya.”

Selain daripada barangan kebiasaan seperti pemetik api, powerbank, payung, laser, barang letupan dan lato-lato, arahan terbaharu ini juga turut melibatkan drum, sepanduk, kain rentang dan tifo.

Seperti diketahui, tifo merupakan paparan koreografi yang berbentuk imej dan tulisan dengan skala besar dipamerkan oleh kebiasaannya oleh kumpulan ultras untuk pelbagai tujuan sama ada perang psikologi kepada pihak lawan atau memberikan semangat buat pasukan.

Kehadiran ultras ke dalam stadium buat mana-mana pasukan nyata menyemarakkan lagi kehangatan saingan liga dengan sorakan tanpa berbelah-bahagi ketika memberikan sokongan.

Bagaimanapun, masih tiada informasi tepat mengenai larangan tersebut akan berterusan hingga akhir musim atau hanya ketika perlawanan malam ini.