Kelab penyokong Kuala Lumpur City menggesa agar pengelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) agar bersikap lebih adil dalam memilih venue perlawanan Piala Sumbangsih 2022.
Dalam satu temu bual bersama Majoriti, kelab penyokong nyata kecewa MFL memilih Stadium Sultan Ismail sebagai venue Piala Sumbangsih edisi musim ini walaupun edisi musim lalu diadakan di stadium sama.
“Sepatutnya perlawanan sedemikian diadakan di stadium berkecuali dan tidak akan ada pertikaian antara kedua penyokong.
“Kami agak terkejut apabila MFL mengumumkan stadium perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT dan KL City diadakan lagi sekali di SSI. Apakah ada tangan ghaib yang mengarahkan ianya diadakan di SSI?” soal kelab penyokong tersebut.
“Kelab penyokong ingin tahu, apakah maksud sebenar MFL tidak masuk campur berkaitan penjualan tiket itu?
“Jika dilihat di laman media sosial JDT, jelas memperkatakan pemegang season pass adalah diberikan keutamaan untuk pembelian tiket, ditambah dengan pemegang Season Pass dengan Cup Matches Add On akan masuk secara percuma.
“Kemusykilan kami di sini, sudah terang lagi bersuluh bahawa lebih kurang 80-90 peratus tiket akan diberikan kepada pasukan JDT. Hanya tinggal saki baki tiket sahaja untuk penyokong Kuala Lumpur City,” kata kelab penyokong tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam menegaskan pihaknya tidak masuk campur mengenai penjualam tiket Piala Sumbangsih kali ini dan percaya kedua-dua pasukan telah mencapai kata putus berhubung perkara itu.
Piala Sumbangsih musim ini tidak akan dimasukkan dalam saingan liga bermula musim ini, sebaliknya akan dijadikan pertandingan berasingan dalam kalendar Liga Malaysia.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:
Jaringan Memukau Khairul Asyraf Sedikit Ubati ‘Kisah Sedih’ Perak
RASMI: Kuala Lumpur Dipilih Sebagai Tuan Rumah Kumpulan H AFC Cup 2022