Kelab divisyen 2 Indonesia, PSPS Riau yang dimiliki oleh usahawan Malaysia, Norizam Tukiman atau dikenali ZamSaham mengumumkan mereka telah membubarkan pasukan secara rasmi selepas hanya sempat mengharungi 6 perlawanan liga pada musim 2022-23.

Baca Juga:

Difahamkan keputusan tersebut terpaksa dibuat kerana saingan Liga 2 Indonesia telah dibatalkan dan masih tiada hala tuju yang jelas sejak dihentikan pada bulan oktober tahun lepas akibat tragedi Kanjuruhan.

Malah, keputusan tersebut turut disambut baik oleh para penyokong PSPS Riau yang jelas tidak puas hati dengan prestasi pasukan itu sejak diambil alih oleh ZamSaham.

Berdasarkan kedudukan terkini Liga 2, PSPS Riau telah menghuni tangga tercorot tanpa kemenangan dan hanya mengutip 1 mata selepas mengharungi 6 perlawanan.

Dengan pembatalan Liga 2, PSPS Riau terselamat daripada diturunkan pangkat ke divisyen 3 Liga Indonesia walaupun menerima pelbagai kecaman dan kritikan daripada penyokong.

Pada 12 Januari lepas, Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan saingan Liga 2 musim 2022/23 tidak lagi berjalan disebabkan oleh beberapa faktor.

Menurut setiausaha agung PSSI, Yunus Nusi, keputusan membatalkan Liga 2 dibuat berdasarkan perbincangan dengan majoriti pemilik kelab yang tidak mahu saingan liga kembali bersambung.

“Pertama, keputusan ini dibuat atas permintaan daripada sebahagian besar pemilik kelab Liga 2 yang tidak mahu saingan liga kembali berjalan.

“Hal ini terjadi kerana tidak ada kesesuaian konsep untuk meneruskan saingan Liga 2 antara kelab dengan pengurus Liga Indonesia yang baharu.

“Selain itu, sukar untuk menamatkan perjalanan Liga 2 sebelum kejohanan Piala Dunia B-20 2023 berlangsung pada 20 Mei 2023,” jelas Yunus Nusi.

Berdasarkan laporan daripada media Indonesia, ada 20 daripada 28 kelab yang meminta untuk tidak meneruskan saingan Liga 2 musim ini.