Skuad kebangsaan Korea Selatan mungkin terpaksa menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa tanpa khidmat dua pemain daripada kelab Liga Super China (CSL) iaitu Kim Min-jae (Beijing Guoan) dan Park Ji-soo (Guangzhou Evergrande).

Menurut laporan daripada media Korea Selatan, Yonhap News, dua kelab CSL enggan melepaskan pemain itu kerana khidmat mereka sangat diperlukan dalam saingan AFC Champions League yang akan kembali berlangsung di Doha pada 18 November 2020.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) tidak akan mencari pengganti pemain tersebut dan skuad kendalian Paulo Bento tetap menghadapi Mexico dan Qatar di Australia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 14 dan 17 November.

Kalendar perlawanan antarabangsa FIFA bermula pada 9 hingga 17 November 2020. Namun disebabkan oleh penularan wabak pandemik, FIFA telah melonggarkan peraturan dimana kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain masing-masing ke kem latihan skuad kebangsaan.

“Sekiranya pemain perlu menghadapi proses kuarantin wajib sekurang-kurangnya lima hari setelah kembali ke kelab mereka, maka kelab berhak tidak melepaskan mereka untuk tugasan antarabangsa,” lapor Yonhap.

Qatar telah mengetatkan peraturan COVID-19 dengan setiap orang luar wajib menjalani kuarantin selama seminggu sebelum menjalani ujian saingan yang kedua.

Ia bermakna dua pemain Korea itu akan terlepas perlawanan pertama AFC Champions League jika mereka dilepaskan menyertai skuad kebangsaan.

Guangzhou Evegrande dijadualkan menentang wakil negara, JDT pada 19 November manakala Beijing Guoan akan menentang FC Seoul pada 21 November ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Kelab J. League Berminat Dengan Penjaga Gol Muangthong United, Dang Van Lam

Tiga Pemain Malaysia Tidak Tersenarai Dalam Skuad Thai League All Stars Bertemu Thailand

Kelab Liga Divisyen 4 Jepun Ini ‘Miliki Trak 40 Kaki’ Hasil Partnership Dengan Syarikat Logistik Tempatan