Kelab Liga Super China, Jiangsu Suning melakukan kejutan terbesar dalam arena bola sepak Asia apabila bakal membawa masuk bintang berkelas dunia dari Real Madrid, Gareth Bale dengan kontrak selama 3 tahun.

Menurut laporan daripada akhbar Sepanyol (Marca), pemain Wales itu semakin hampir menandatangani kontrak bernilai £1 juta (RM5.1 juta) seminggu dan pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane turut mengesahkan Bale bukan lagi sebahagian daripada perancangannya untuk musim depan.

Bale yang meninggalkan Tottenham Hotspur untuk menyertai Real Madrid pada tahun 2013 akan menerima gaji sebanyak 22 juta euro (RM101 juta) setiap musim di China. Jiangsu Suning yang kini menduduki di tangga keenam dalam carta Liga Super China turut diperkuatkan oleh bekas pemain Inter Milan dan Atletico Madrid, Miranda dan bekas pemain tengah Shakhtar Donetsk, Alex Teixeira.

Bagaimanapun, laporan daripada The Guardian menyebut pemain yang berusia 30 tahun itu mahu kekal dengan kelab gergasi Sepanyol itu tetapi Zidane tetapi tidak berminat untuk menggunakan khidmat pemain itu sambil berharap urusan perpindahannya dijalankan secepat mungkin.

Zidane kemudiannya menegaskan pada Isnin dia tidak berniat untuk tidak menghormati Bale sebelum menurunkan pemain itu sebagai gantian dalam aksi persahabatan yang menyaksikan mereka menewaskan Arsenal 3-2 di Amerika Syarikat.

“Dia mempunyai permainan yang baik dan saya gembira dengannya,” kata Zidane.

“Saya tidak tahu apa akan berlaku, ketika ini dia bersama kami. Ia tidak akan mengubah apa-apa.” jelasnya.

Sepanjang bersama skuad Los Blancos itu, Bale telah memainkan peranan yang penting dalam kelab itu sehingga membantu Madrid menjuarai Juara-juara Kelab Eropah (UCL) sebanyak 4 kali, kejuaraan La Liga, Copa Del Rey, tiga kejuaraan Super Cups dan tiga kejuaraan Kelab Dunia.

Namun begitu, beliau sering dibelenggu masalah kecederaan sehingga hanya mampu membuat 79 penampilan dalam La Liga sejak empat tahun yang lalu.

Sumber