Salah sebuah kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat ketua jurulatih dari Singapura iaitu Aidil Sharin Sahak.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan The Star, T.Avineshwaran dimana kelab yang dimaksudkan ialah Kuching City yang ketika ini tidak mempunyai ketua jurulatih selepas Irfan Bakti meletak jawatan pada minggu lalu.

Aidil sendiri baru sahaja berpisah dengan kelab Liga 1 Indonesia, Persikabo 1973 yang mana beliau menegaskan mahu menjaga ibunya yang kini menerima rawatan di sebuah hospital di Singapura.

“Orang tua saya sedang sakit dan mendapatkan rawatan di hospital. Tentu saja itu menjadi tanggung jawab saya sebagai anak lelaki untuk merawatnya,” katanya.

Aidil Sharin bukanlah seorang jurulatih yang asing dengan saingan Liga Malaysia dimana sebelum ini beliau pernah membimbing Kedah Darul Aman selama tiga musim dari 2019 hingga 2022.

Ketika membimbing Kedah, Aidil membantu pasukan itu memenangi trofi Piala FA 2019 dengan menewaskan Perak pada perlawanan akhir dengan keputusan 1-0 menerusi jaringan tunggal Fazrul Danel.

Kedah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun yang sama namun kali ini nasib tidak memihak kepada pasukan itu apabila tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 3-0.

Selain itu, Aidil turut muncul sebagai pengendali dari Singapura yang pertama membimbing kelab dari luar negara itu dalam saingan AFC Champions League (ACL) yang menyaksikan Kedah tewas kepada FC Seoul pada aksi play-off.

Sebelum berpisah dengan Kedah, jurulatih berusia 46 tahun itu turut membimbing Kedah mara ke peringkat separuh akhir Piala AFC Zon Asia Tenggara.