Isu tunggakan gaji yang sedang berlaku dalam Liga Malaysia ketika ini mendapat perhatian pemain skuad B-23 tahun negara yang beraksi di Liga Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak dimana beliau menegaskan faktor utama mengapa kelab Jepun lebih stabil dan berjaya ialah kerana pembabitan syarikat swasta sebagai penaja pasukan.
Menurut pemain yang beraksi bersama Fagiano Okayama itu, isu tunggakan gaji sangat menyedihkan ketika beliau pula mendapat layanan yang jauh lebih baik bersama kelabnya meskipun sekadar beraksi di divisyen kedua Liga Jepun iaitu J2 League. Tambah Hadi, pembabitan syarikat swasta sebagai penaja banyak menyumbang dana kepada pasukan hingga langsung tidak kedengaran isu tunggakan gaji di liga negara matahari terbit itu.
Hadi berkata: Pada pendapat saya, antara faktor yang membantu pasukan di sini stabil dan berjaya adalah semuanya kerana penaja. Penaja di sini begitu banyak dan mereka ada unit tertentu untuk mendapatkan tajaan. Kehadiran penaja sememangnya membantu pasukan dan difahamkan, jumlah penajaan adalah tinggi.
“Mungkin ini antara sebab mereka tidak berdepan masalah dan pasukan Liga M boleh mencontohi apa yang pasukan di sini lakukan dalam mencari penaja untuk menstabilkan kewangan.
“Ini membuatkan saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar buat saya sepanjang berada di sini. Saya harap masalah itu dapat diselesaikan dengan baik dan cepat untuk membantu mereka yang terjejas. Semoga perkara sebegini tidak akan diulangi pada masa akan datang,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail mendedahkan beberapa pasukan masih mempunyai tunggakan gaji kepada pemain sehingga mencecah RM6.4 juta secara keseluruhannya.
Bagaimanapun, pendedahan yang dilakukan oleh PFAM tidak disenangi apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Izham. Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut tidak senang dengan pendedahan tersebut.