Bekas pemain skuad kebangsaan Jepun, Keisuke Honda percaya negaranya mampu untuk menjadi salah satu kuasa besar dalam bola sepak dalam tempoh masa 10 tahun akan datang.
Baca Juga:
- Perlawanan Persahabatan: Thailand Bakal Hadapi Jepun
- Pernah Tolak Manchester United, Penjaga Gol Jepun Ini Cemerlang Di Liga Belgium
- Peminat Thailand Mahu Lihat Arif Aiman Beraksi Di Liga Jepun
Honda berkata demikian menerusi laman media sosial rasmi miliknya selepas berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh Jepun dalam beberapa aksi persahabatan antarabangsa sebelum ini.
“Bola sepak Jepun akan menjadi salah satu pasukan terkuat dalam tempoh 10 tahun,” kata Keisuke Honda.
Japanese football(soccer) will become one of the strongest countries in 10 years.
— Keisuke Honda (@kskgroup2017) October 30, 2023
Skuad Samurai Blue ketika ini menjadi pasukan terbaik di rantau Asia dimana mereka mencatat enam kemenangan dalam enam aksi persahabatan antarabangsa setakat ini.
Jepun menewaskan El Salvador dengan keputusan 6-0 pada bulan Jun lalu diikuti dengan kemenangan ke atas Peru dengan keputusan 4-1.
Pada perlawanan jendela FIFA bulan September, skuad kendalian Hajime Moriyasu itu mengejutkan dunia apabila membelasah Jerman dengan keputusan 4-1, mengulangi kejayaan menewaskan pasukan sama ketika temasya Piala Dunia 2022 pada aksi di peringkat kumpulan.
Selain mencatat kemenangan ke atas Jerman, Jepun juga berjaya menewaskan Turkiye dengan keputusan 4-2, Canada dengan keputusan 4-1 dan terakhir menewaskan Tunisia dengan keputusan 2-0.
Selepas ini, Jepun bakal menghadapi saingan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Myanmar dan Syria sebelum terbang ke Qatar untuk beraksi dalam temasya Piala Asia 2023.
Jepun merupakan salah satu pasukan pilihan untuk muncul juara selain tuan rumah iaitu Qatar, Korea Selatan, Australia dan Arab Saudi.
Dengan prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh Jepun setakat ini, tidak mustahil mereka akan memenangi temasya terbesar dalam sukan bola sepak di Asia itu pada edisi kali ini sejak kali terakhir menjulang trofi pada 2011 dimana mereka menewaskan Australia dengan keputusan 1-0 pada perlawanan akhir.