Beberapa hari lalu, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan senarai pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Garuda bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia dan Thailand bulan depan.
Mereka turut menyenaraikan lima pemain naturalisasi yang sudah lama beraksi dalam saingan Liga Indonesia iaitu Otavio Dutra, Greg Nwokolo, Osas Saha, Alberto Goncalves dan seorang pemain yang beraksi dalam Liga Thailand bersama kelab PTT Rayong iaitu Victor Igbonefo.
Mengulas mengenai situasi itu dalam Berita Harian, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menganggap kehadiran pemain itu biasa dalam sukan bola sepak kerana setiap negara pasti akan menyenaraikan barisan terbaik untuk menghadapi perlawanan penting.
“Semua pasukan sudah tentu mahu membariskan pemain yang terbaik pada pusingan kelayakan kerana mahu mendapatkan keputusan yang positif. Masing masing mengimpikan untuk beraksi di pentas tertinggi iaitu Piala Dunia.
“Namun bagi saya, kita tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kekuatan lawan. Fokus ketika ini adalah untuk mempersiap pasukan supaya dapat bersedia sepenuhnya bagi pusingan kelayakan ini.
“Apapun, kita perlu berhati hati kerana jika hendak dibandingkan dengan barisan pemain Indonesia pada Piala AFF 2018, pemain mereka pada kempen kelayakan kali ini nampak lebih baik.” jelasnya.
Berdasarkan jadual perlawanan, Malaysia akan beraksi empat perlawanan di tempat sendiri iaitu bertemu UAE pada 10 Sept, Thailand (14 Nov), Indonesia (19 Nov) dan Vietnam pada 31 Mac 2020. Manakala perlawanan di tempat lawan, bermula dengan aksi menentang Indonesia pada 5 Sept, Vietnam (10 Okt), UAE (26 Mac 2020) dan Thailand pada 9 Jun 2020.
Hanya juara dan empat pasukan kedua terbaik daripada setiap lapan kumpulan layak secara automatik ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 manakala pasukan yang tidak layak akan beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato Haji Hamidin Mohd Amin mengingatkan skuad kebangsaan supaya tidak mengambil mudah pertemuan dengan tiga negara ASEAN berkenaan walaupun pernah bertemu beberapa kali dalam saingan Piala AFF Suzuki, selain aksi persahabatan antarabangsa.
“Sekiranya kita gagal mendapat tempat kedua dalam kumpulan, kita akan diundi sekali lagi untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2023 selepas ini, dan kemungkinan undian itu lebih sukar kerana kita bakal bertemu dengan pasukan seperti Uzbekistan, Syria dan Oman,” tegas Hamidin.