Pasukan Kedah berdepan dengan detik cemas sebelum mereka berjaya menewaskan Selangor United dengan keputusan 3-2 sekaligus mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga saingan Piala FA 2019.
Juara edisi 2017 ini dijangka tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan menentang pasukan yang beraksi di Liga Perdana itu. Namun, jangkaan tersebut meleset apabila Selangor United memberikan cabaran sengit kepada anak-anak buah Aidil Shahrin Sahak.
Selangor United terlebih dahulu berada di hadapan menerusi percubaan Norhafizuan Jailani pada minit ke-9. Tersentak dengan jaringan pembukaan pasukan pelawat, Kedah cuba bangkit dengan menggandakan asakan ke arah kubu pertahanan lawan. Namun, jentera serangan yang tumpul menyebabkan mereka gagal untuk mencari gol penyamaan pada separuh masa pertama dan kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Memasuki separuh masa kedua, pasukan bimbingan Abdul Talib Sulaiman ini berjaya memperoleh gol kedua apabila percubaan Sergio Aguero berjaya menewaskan penjaga gol Kedah, Ramadhan Hamid.
Gol yang dicari-cari oleh skuad Lang Merah akhirnya tiba apabila pemain gantian, Jonathan Bauman menjaringkan gol pertama pasukannya dalam perlawanan tersebut pada minit ke-58. Gol yang dijaringkan Bauman nyata memberikan semangat baru kepada pemain pasukan tuan rumah.
Asakan bertali-arus yang dilakukan oleh pemain Kedah untuk mencari gol penyamaan akhirnya membuahkan hasil apabila selang 10 minit kemudian, giliran ketua pasukan skuad kebangsaan, Zaquan Adha mencatat nama sebagai penjaring sekaligus membolehkan perlawanan diheret ke masa tambahan.
Kedah terpaksa menunggu sehingga minit ke-113 untuk menjaringkan gol kemenangan apabila percubaan seorang lagi penyerang import, Fernando Rodriguez gagal ditampan oleh penjaga gol Selangor United. Gol tersebut sekaligus mengesahkan kemaraan Hijau Kuning ke pusingan seterusnya.
Barisan serangan menjadi sasaran kritikan daripada peminat setia pasukan Kedah. Meskipun Fernando Rodriguez berjaya menjaringkan gol kemenangan, namun beliau beberapa kali terlepas peluang keemasan terutamanya pada separuh masa pertama.
Pujian juga wajar diberikan kepada Selangor United dimana mereka mampu untuk memberikan ancaman kepada pasukan yang lebih besar. Jika mereka berjaya mengekalkan prestasi semasa. tidak mustahil Selangor United mampu untuk menjadi “The Giants Slayer” dalam saingan Liga Perdana.