Skuad Helang Merah tekad hadiahkan para penyokong mereka dengan trofi kejuaraan Piala FA pada musim ini. Justeru itu, mereka mahu tampilkan aksi terbaik pada perlawanan akhir menentang Perak pada 27 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mengulas mengenai persiapan menghadapi skuad kendalian Mehmet Durakovic, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar menjelaskan pasukannya kini berada di tahap terbaik dan sedang melakukan persiapan rapi di padang latihan.

Malah, beliau dan rakan sepasukan juga berjanji akan membawa pulang Piala FA ke Alor Star sekaligus menempah tiket beraksi dalam saingan kelayakan AFC Champions League musim depan.

“Kalau ada rezeki Kedah pada tahun ini, kami (akan) menghadiahkan piala itu (Piala FA) kepada penyokong Kedah dan pasukan, itu satu janji kami kepada penyokong,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro. 

67079300_2610820822283712_7440713059984736256_n
FOTO: Kedah FA

Kedah berjaya menewaskan Perak, 4-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Darulaman beberapa hari lalu namun Baddrol menyifatkan pasukan lawan mungkin ‘menyimpan kuku’ dan tidak mempamerkan corak permainan sebenar.

“Mungkin pasukan Perak ada menyimpan sesuatu, jadi kami akan terus pandang ke hadapan dan akan fokus, kita tidak boleh memandang rendah pada lawan” tambahnya.

Sementara itu, Baddrol berkata perlawanan menentang Felda United untuk saingan Liga Super selepas ini sangat penting kerana Kedah memerlukan tiga mata penting untuk mengekalkan kedudukan tangga ketiga dan berada dalam kelompok lima terbaik.

Manakala Felda United pula terdesak untuk mendapatkan kemenangan bagi mengelakkan daripada tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan. Setakat ini, mereka hanya mengumpulkan 16 mata selepas mengharungi 21 perlawanan.

Sumber