Beberapa bulan yang lalu, Sergio Aguero menyatakan Lionel Messi adalah salah satu sebab kenapa beliau datang ke Barcelona.

Beliau menyertai Barca secara percuma dari Manchester City dengan kontrak 2 tahun.

Barcelona dan Aguero turut setuju memasukkan klausa pelepasan €100 juta.

Aguero menganggap perpindahan ke Barcelona dan bermain bersama Lionel Messi sebagai satu impian menjadi nyata.

Messi dan Aguero merupakan dua pemain yang beraksi dalam skuad kebangsaan yang sama. Dan kedua duanya membantu negara mereka memenangi Copa America 2021.

The-Kun-Agüero-celebrates-another-title-in-2021-before-arriving

Laporan sebelum ini menyebut, Aguero malah meminta jaminan bahawa Messi akan kekal untuk beliau mempertimbangkan menyertai Barcelona. Seminggu sebelum kontrak Aguero rasmi ditandatangani, Messi mengesahkan beliau akan terus bersama Barcelona, sekaligus menolak sebarang potensi beliau akan ke Man City mahupun PSG – pada ketika itu.

Aguero turut berharap Messi akan membantunya menyesuaikan diri dengan suasana baharu di Barcelona serta negara yang baru.

“Saya bercakap dengan Leo setiap hari dan dia mengucapkan tahniah kepada saya. Sekarang saya akan bersamanya setiap hari dan ini akan menjadikannya lebih mudah.”

“Apa yang berlaku dengan Leo akan menjadi keputusan kelab, tetapi adalah suatu penghormatan dan keseronokan bermain bersama Leo. Sekiranya dia terus kekal, yang saya rasa dia akan lakukan, saya akan berusaha memberikan segalanya seperti yang selalu dilakukannya.”

Aguero mengakui bahawa bergabung dengan Barcelona adalah perkara yang paling dia mahukan setelah beliau gagal memeterai kontrak baharu dengan Man City.

“Saya tidak mempunyai keraguan. Saya tidak mahu kelab lain bercakap dengan saya, hanya Barcelona.”

“Guardiola, ketika kami memenangi Liga Perdana Inggeris, telah memberitahu saya, ‘Kamu akan pergi ke kelab teragung di dunia’. Bagi saya, sejak kecil, dan sekarang kerana Leo ada di sini, kelab ini adalah pasukan terhebat.”

“Ketika saya masih kecil, saya mengatakan suatu hari mereka akan mengenali saya dan saya berada di sini.”

Terbaru, Lionel Messi disahkan tidak akan bermain untuk Barcelona lagi. Ini selepas kelab tidak dapat menepati had yang ditetapkan oleh FFP dari segi gaji pemain.

Perkembangan itu dianggap tidak begitu menggembirakan Aguero. Ini kerana sebelum ini Barcelona memberikan jaminan bahawa Messi akan terus bermain di Barcelona.

Aguero dikatakan merasakan dirinya dikhianati kerana Messi dilepaskan oleh kelab, sedangkan pemain itu masih mahu kekal.

Peguam Aguero akan cuba menyemak semula kontrak yang membolehkan kliennya meninggalkan kelab itu seawal musim panas hadapan.

Perkara itu kelihatan sukar dicapai kerana kontrak sudah ditandatangani. Kecuali dalam kontrak Aguero memang ada menyatakan bahawa dia boleh minta pindah jika Messi menyertai kelab lain.

Baca juga artikel

Kane Kecewa Komen Penyokong Spurs Tuduh Dia Tidak Profesional

Guardiola Akui Mahukan Kane, Namun Messi Tiada Dalam Radar City

Guardiola: ‘Aguero Sertai Kelab Saya Cintai, Bermain Dengan Pemain Terbaik Sepanjang Zaman’