Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan nyata kecewa dengan kegagalan anak buahnya untuk kekal fokus sehingga menyebabkan mereka tunduk 2-3 pada aksi kesembilan Liga Super Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Dua kali berjaya mendahului lawan menerusi Stefan Nikolic dan Ahmad Syamim Yahya, Melaka United akhirnya terpaksa berputih mata apabila pemain kebangsaan, Syahmi Safari menghadiahkan jaringan kemenangan buat Selangor pada minit ke-87.

Dua lagi jaringan Selangor pada perlawanan ini telah dihasilkan oleh tonggak serangan yang turut pernah merasai pengalaman beraksi bersama Melaka United iaitu Ifedayo Olusegun.

Memetik kenyataannya menurut laporan Berita Harian (BH) Online, Zainal melihat kealpaan di bahagian pertahanan menjadi masalah buat anak buahnya sehingga membolehkan skuad kendalian Karsten Neitzel itu mencatatkan kemenangan keempat musim ini.

“Jika mereka lebih fokus, kelebihan jaringan yang diperoleh mampu dikekalkan kerana ia amat penting dalam setiap perlawanan.”

“Justeru saya akan mengkaji kelemahan pertahanan menerusi ‘post mortem’ sebelum aksi seterusnya berdepan Perak di Ipoh,” ujar Zainal Abidin Hassan.

Selepas mengharungi sembilan perlawanan liga, Melaka kini menduduki tangga ke-10 selepas mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan, empat keputusan seri dan tiga kekalahan.

Kali terakhir Melaka United bertemu Perak di Ipoh adalah pada pertemuan Liga Super musim lalu sebaik sahaja aksi bola sepak tempatan kembali bersambung pasca wabak melanda.

Perlawanan tersebut menyaksikan Melaka United berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 hasil jaringan kemenangan dihasilkan oleh bekas pemain, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir pada separuh masa kedua.

 

Sumber