Pemilik kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dalam sidang media hari ini mengakui pasukannya mengalami masalah tunggakan gaji sehingga menjejaskan prestasi dalam saingan Liga Super.
Baca Juga:
- Rodney Celvin Angkat Kaki Tinggalkan Kedah
- Pemain Kedah Dapat Bonus Selepas Seri Menentang JDT
- Penyokong Penang Dan Kedah Bertumbuk Di Luar Stadium
“Saya ingin memohon maaf kepada jurulatih pasukan Liga Super, Nafuzi Zain, barisan kejurulatihan, semua pegawai, staf dan pemain serta ahli keluarga mereka atas masalah kewangan atau lebih tepat lagi masalah aliran tunai yang sedang dihadapi oleh KDA FC yang telah menyebabkan masalah tunggakan gaji.
“Dan ini juga mengakibatkan persembahan pasukan yang kurang memberangsangkan kebelakangan ini.
“Dalam konteks ini, saya juga minta maaf kepada penyokong dan peminat atas segala kelemahan KDA FC yang mengakibatkan persembahan yang kurang mengujakan.
“Sebagai pemilik saya ambil tanggungjawab sepenuhnya masalah kewangan yang dihadapi KDA FC, sebuah kelab bola sepak yang diswastakan sepenuhnya sejak Ogos 2022 tidak ubah seperti menguruskan sebuah syarikat.
“Kadang-kadang sebahagian percaturan dan strategi penjanaan serta pemasaran tidak berlaku seperti yang dirancangkan. Semua pendapatan hanyalah daripada sumber yang terhad dalam konteks sumbangan pembangunan saham dan juga penajaan serta hasil tiket dan merchandise,” katanya menerusi Facebook KDA FC.
Daud juga menjelaskan gaji semua pegawai dan pemain KDA FC untuk bulan Julai 2023 telah pun dibayar dan mereka kini dalam proses melunaskan tunggakan gaji untuk bulan Ogos 2023.
Manakala gaji untuk bulan September 2023 akan diselesaikan pada bulan Disember ini.
“Insya Allah gaji bulan September 2023 akan cuba dijelaskan pada bulan Disember 2023,” katanya enggan mendedahkan jumlah hutang ditanggung KDA FC.
Para penyokong KDA FC juga percaya tunggakan gaji yang berlaku dalam pasukan tersebut menjadi punca tonggak pertahanan tengah, Rodney Celvin mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak lebih awal.
Rodney dilaporkan bakal menyertai Kuching City musim depan dengan kontrak selama 2 tahun.
Malah, khabar angin mula bertiup kencang di media sosial mengatakan beberapa lagi pemain KDA FC turut angkat kaki ke menyertai pasukan lain musim depan.