Kelab Liga Jepun, Kawasaki Frontale berjaya mendapatkan penyerang veteran dari Perancis yang pernah beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Bafétimbi Gomis bagi memantapkan jentera serangan pasukan.

Baca Juga:

Perkara ini diumumkan oleh pihak kelab baru-baru ini dimana penyerang itu sebelum ini beraksi bersama kelab Turki, Galatasaray yang mana musim lalu muncul sebagai juara Liga Super Turki.

Gomis tidak mendapat kontrak lanjutan bersama kelab itu selepas membuat 28 penampilan sepanjang musim dan menjaringkan 10 gol dan dua assist dalam semua kejohanan. Ini kerana pengurus pasukan, Okan Buruk lebih gemar menggunakan Mauro Icardi di bahagian serangan yang mana pemain itu muncul sebagai penjaring ketiga terbanyak liga dengan 22 gol.

Pemain berusia 38 tahun itu pernah beraksi bersama beberapa kelab besar di Eropah seperti Saint-Étienne, Lyon, Swansea City dan Marseille dimana beliau mempunyai catatan yang cukup baik iaitu menjaringkan dua digit gol sepanjang beraksi bersama kelab yang diwakilinya.

Selain terkenal dengan ketajamannya di hadapan gol, Bafétimbi Gomis juga terkenal dengan gaya beliau selepas menjaringkan gol iaitu merangkak seperti harimau kumbang hitam.

Kehadiran Gomis dilihat sebagai usaha untuk Kawasaki kembali sebagai pasukan pencabar dalam saingan J1 dimana mereka ketika ini menduduki tangga ke-7 dalam carta liga.

Kawasaki sebelum ini kehilangan khidmat pemain bintang Thailand, Chanathip Songkrasin yang meninggalkan pasukan dan kembali ke negaranya dengan menyertai BG Pathum United.

Untuk makluman, Chanathip merupakan pembelian termahal yang pernah dilakukan oleh Kawasaki dimana kelab itu mengeluarkan dana sebanyak $3.8 Juta untuk mendapatkan pemain itu.