Juara bertahan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Kashima Antlers menegaskan mereka mengambil langkah berjaga-jaga apabila bertandang ke Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin bagi menghadapi Johor Darul Ta’zim dalam saingan kumpulan E malam ini.
Pengendali pasukan, Go Oiwa berkata pasukannya mahu mencari kemenangan namun tidak boleh terlalu ghairah kerana JDT mampu untuk mencipta kejutan. Beliau menggesa pemainnya agar menjaga keseimbangan sepanjang perlawanan dan tidak terlalu fokus dalam mencari jaringan.
“Aksi malam ini penting bagi kami dan perlu menang jika mahu terus memburu slot ke pusingan seterusnya, saya tidak nafikan kita kena berwaspada dengan kebangkitan JDT yang mahu mencari kemenangan pertama.
“Apa pun saya lega kerana tiada kecederaan serius dialami barisan pemain utama. Misi kami ke Johor adalah mencari kemenangan serta perlu mengelak keputusan seri atau kalah.
“Selain itu, kami berdepan masalah menyesuaikan diri dengan cuaca yang panas. Beberapa pemain mengadu mereka kepenatan apabila berlatih dalam cuaca panas,” katanya menurut laporan Berita Harian.
JDT tewas dengan keputusan 2-1 apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Kashima pada 5 Mac lalu. Jaringan dari jarak jauh Safawi Rasid nyata tidak cukup untuk membantu JDT pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata.
Jika JDT menundukkan Kashima malam ini, maka mereka akan mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya. Namun, jika Kashima meraih tiga mata penuh, maka kelan J League ini akan menduduki tangga teratas kumpulan E dan JDT tersingkir dari saingan.