Selepas gagal untuk mendakap trofi Piala FA musim ini apabila tewas kepada Kedah di pentas perlawanan akhir, kini fokus pasukan Perak beralih kepada usaha ungtuk mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia yang mereka menangi pada musim lalu.
Perkara tersebut disuarakan oleh pemain tengah pasukan, Ahma Khairul Anuar Zamri atau yang lebih mesra dipanggil Beto. Ketika ditemu bual oleh wakil kami, Beto meluahkan kekecewaan beliau kerana Perak gagal untuk memenangi Piala FA pada musim ini.
“Saya sedikit kecewa kerana kita kalah kepada Kedah. Bukan saya sahaja malah seluruh rakyat merasakan hal yang sama. Perak menguasai perlawanan dan banyak peluang yang kami peroleh untuk menjaringkan gol. Akan tetapi kami gagal untuk memanfaatkan peluang.
“Apabila kita beraksi dengan 10 pemain dalam masa tambahan, perkara tersebut bukanlah satu perkara yang mudah. Kedah menghukum kami dengan satu jaringan dan sekaligus memenangi Piala FA. Namun, pemain Perak telah memberikan yang terbaik,” katanya.
Saksikan sorotan perlawanan penuh perlawanan FINAL Shopee PIALA FA 2019 🏆 yang menyaksikan Kedah menewaskan Perak 1-0 pada masa tambahan untuk muncul juara Piala FA buat kali kelima!
Tahniah Kedah! 🎉#ShopeePialaFA2019 pic.twitter.com/lVs3A5smXh
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 28, 2019
Tambah Beto, kekalahan pada Sabtu lalu akan dijadikan sebagai pembakar semangat serta motivasi tambahan untuk para pemain menampilkan aksi cemerlang sekaligus mengekalkan kejuaraan.
“Sasaran kami dalam saingan Piala Malaysia musim ini ialah kami mahu mengekalkan kejuaraan yang kami menangi musim lalu. Kita cuba untuk bangkit setelah tewas pada perlawanan Sabtu lalu dalam saingan Piala Malaysia musim ini. Para pemain akan memberikan yang terbaik,” tambahnya.
Perak diundi dalam kumpulan C bersama pasukan Pahang dan dua lagi pasukan dari Liga Perdana iaitu juara Liga musim 2019, Sabah dan Pulau Pinang.