Gejala mengatur perlawanan kembali menghantui Liga Malaysia dimana salah seorang pemain Hanelang FC mendedahkan pasukannya dipaksa untuk kalah ketika menghadapi Terengganu City FC dalam saingan Liga FAM musim lalu.
Seorang bekas pemain Hanelang yang dikenali sebagai Mansor berkata wakil kepada penaja pasukan yang turut menaja TCFC memasuki bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama perlawanan Piala FAM yang diadakan pada April tahun lalu.
Ketika itu, Hanelang sedang mendahului 1-0 dan para pemain bersemangat untuk menundukkan pasukan lawan yang lebih senior daripada mereka. Namun, wakil penaja meminta Hanelang untuk tewas bagi membolehkan rekod tanpa kalah TCFC dapat diteruskan.
“Bayangkan ketika itu kami bersemangat apabila sedang mendahului 1-0, namun secara tiba-tiba datang seorang individu wakil kepada penaja meminta supaya kami tewas.
“Individu berkenaan datang ke bilik persalinan dan meminta maaf selain mendakwa itu adalah arahan daripada pihak atasan yang perlu dipatuhi. Individu berkenaan bagaimanapun tidak mengugut atau mengancam, tapi jika kami ingkar, mungkin gaji kami tidak akan dibayar.
“Ketika itu saya agak berang kerana kami berhempas pulas mahu menang, namun individu itu dengan mudah meminta supaya kami kalah,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Setakat ini, individu berkenaan yang masih lagi bebas daripada sebarang tindakan. Selain itu, beliau turut bertanggungjawab terhadap hampir RM5 juta keseluruhan tunggakan gaji membabitkan pemain dan barisan kejurulatihan sejak tiga tahun lalu.
Seorang lagi bekas pemain Hanelang FC yang dikenali sebagai Sulaiman berkata, mereka enggan melayani permintaan individu berkenaan sekaligus perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.
“Pada malam selepas perlawanan itu, saya dihubungi oleh individu tidak dikenali dan dia bertanya sama ada saya memilih maruah atau karier.
“Saya memilih maruah dan akibatnya saya tidak menerima gaji selama tiga bulan sebelum mengambil keputusan menamatkan kontrak bersama pasukan terbabit,” katanya.