Jumlah kehadiran penyokong yang merosot dalam saingan Piala Malaysia menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan sejak kebelakangan ini. Malah, juara Liga Super 6 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) turut tidak terlepas daripada isu tersebut apabila hanya lebih 5000 penyokong yang telah hadir menyaksikan perlawanan menentang UiTM FC.

Naib juara Liga Super, Pahang turut gagal menarik lebih ramai kehadiran penyokong walaupun pasukan itu belum tewas dalam 5 perlawanan terakhir dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah di halaman sendiri.

Baca: 7 Peraturan Baharu Akan Diperkenalkan Dalam Saingan Piala Malaysia 2019

thai league
Kehadiran yang penuh dalam saingan Liga Thailand.

Bekas pemain Perth Glory FC dan lagenda bola sepak Kelantan, Dali Omar menyifatkan kualiti permainan yang dipamerkan oleh pemain tempatan dalam Liga Malaysia merupakan punca utama kemerosotan jumlah kehadiran penyokong ke Stadium masing-masing.

Menurut kenyataannya dalam Utusan Malaysia, setiap pasukan dalam Liga Malaysia perlu berusaha meningkatkan kualiti pemain mereka dan mempamerkan corak permainan yang menghiburkan untuk tarik lebih ramai penyokong memenuhi stadium.

“Kalau penyokong tak nak pergi stadium, mana boleh paksa. Orang dah benci. Orang dah jemu. Pemain kita tidak setaraf. Saya sedih tengok bola sepak tempatan.

“Terus-terang saya katakan, saya sendiri sudah tidak peduli dengan bola sepak Malaysia,” katanya.

Ekonomi teruk salah satu faktor kemerosotan jumlah kehadiran penyokong

Sementara itu, bekas pemain skuad Harimau Malaya pada era 80-an, Datuk Jamal Nasir berpendapat situasi keadaan ekonomi yang teruk menyebabkan peminat bola sepak tempatan kini memilih untuk menyaksikan perlawanan tumpuan kerana tidak mampu hadir dalam semua perlawanan.

Beliau berkata, penyokong yang sudah berkeluarga akan berfikir dua kali untuk hadir ke stadium kerana kos perjalanan serta makan minum yang bakal ditanggung oleh mereka cukup tinggi.

NEWS
FOTO:  NSTP/ZULKEPLI OSMAN

“Dengan keadaan ekonomi yang teruk, penonton pasti lebih selektif. Kalau satu keluarga ada empat ahli, sudah berapa harga tiket di situ? Itu belum masuk duit makan minum. Lebih baik mereka berjimat.

“Betul, memang situasi ini tidak sihat sebab kantung pasukan juga akan berkurangan tetapi orang berniaga ketika ini pun teruk.

“Yang datang ke stadium sekarang mungkin penyokong setia. Saya percaya, apabila Piala Malaysia memasuki peringkat suku akhir kehadiran penyokong akan bertambah,” katanya kepada Utusan Malaysia.