Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meminta ihsan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh persatuan tersebut.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan menjelaskan bayaran insentif yang diterima oleh pemain pasukan itu baru-baru ini berasal daripada wang yang diberikan oleh FAM.
Bibi menegaskan kantung KAFA sudahpun kering kongtang dan perkara tersebut menyebabkan pihaknya gagal untuk menjelaskan bayaran gaji pemain dan pegawai pasukan.
“Saya tidak akan lagi mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk membayar gaji pemain kerana ada pihak yang kononnya sudi tampil untuk mengambil alih tampuk pemerintahan KAFA.
“Namun, sehingga kini individu yang dimaksudkan itu tidak juga tampil. Saya tidak akan membiarkan pemain tidak dibayar gaji apabila mengambil inisiatif mendapatkan dana daripada pihak tertentu untuk melangsaikannya,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Nasib pasukan Kelantan ketika ini bagaikan telur di hujung tanduk ekoran isu dalaman di pihak pengurusan yang sedang berlaku ketika ini.
Lebih membimbangkan, skuad Piala Presiden Kelantan berdepan kemungkinan dibubarkan setelah pemain enggan untuk turun beraksi ekoran tidak dibayar gaji oleh KAFA.