Jurulatih berpengalaman, K. Devan diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu pasukan Negeri Sembilan FC bagi menghadapi musim yang lebih mencabar dalam saingan Liga Premier musim depan.

Ibarat sirih pulang ke gagang, K. Devan kini membawa misi utama memulihkan kembali reputasi skuad Hoben Jang Hoben di persada liga bola sepak tempatan. Salah satu perancangannya adalah membawa Negeri Sembilan kembali ke kancah Liga Super 2022.

Dalam masa sama, beliau memberikan penghargaan kepada Tunku Besar Tampin yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al- Qadri kerana memberikan mandat kepadanya untuk mengemudi Negeri Sembilan.

“Pertama sekali, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Tunku Besar Tampin dan seluruh pengurusan bola sepak Negeri Sembilan kerana mempertaruhkan kepercayaan buat saya membawa pasukan pada musim depan.

“Saya memang teruja kerana sekali lagi berpeluang mengendalikan Negeri Sembilan, iaitu negeri kelahiran saya dan banyak kenangan manis saya di sini kerana Negeri Sembilanlah menaikkan nama saya seperti hari ini.

“Berdasarkan situasi pasukan buat masa ini, saya tahu banyak perkara yang perlu dilakukan pada musim depan dan perancangan utama saya adalah mahu membentuk skuad yang mantap serta mampu bersaing serta mahu membawa Negeri Sembilan ke Liga Super pada musim berikutnya.

“Apa yang saya boleh katakan buat masa ini, pemain import pada musim depan adalah semuanya yang baru manakala pemain tempatan akan berlaku banyak perubahan kerana saya mahu memperkemaskan skuad ini di semua bahagian,” katanya melalui kenyataan di MFL.

Devan bukanlah nama asing buat Negeri Sembilan kerana beliau pernah menjadi ketua jurulatih Piala Presiden pada 2001 dan 2002 sebelum memulakan kariernya selaku ketua jurulatih Negeri Sembilan pada 2003 dan menghadiahkan kejuaraan Piala FA pada tahun yang sama.

Dia terus membimbing Negeri Sembilan sehingga musim 2006 dan turut berjaya meraih kejuaraan sulung Liga Super pada edisi saingan 2005/2006.

Devan sekali lagi hadir ke Negeri Sembilan pada tahun 2015 namun musim itu, Negeri Sembilan gagal berikan impak dan Devan memilih berhijrah ke Kelantan pada musim 2016.

Negeri Sembilan pada saingan musim ini sekadar menamatkan cabaran di tangga ke-11 di Liga Premier dan hanya meraih tiga kemenangan daripada 11 perlawanan.

K.Devan
Sumber Gambar: PJ City FC

Sementara itu, Devan berharap pengalaman luasnya dalam bidang kejurulatihan mampu menarik pemain-pemain berpengalaman dan bakat-bakat muda untuk memperkuatkan Negeri Sembilan pada musim depan.

“Berdasarkan bajet yang telah diberikan pengurusan, saya akan cuba sedaya upaya membawa pemain-pemain yang akan dikenal pasti dan sesuai dengan corak permainan yang saya mahu terapkan.

“Diharapkan setelah sekian lama saya dalam bidang kejurulatihan, saya mampu berikan keyakinan kepada pemain-pemain di luar sana untuk bersama pasukan untuk musim depan.

“Saya telah lalui pelbagai fasa dalam karier kejurulatihan namun saya cukup optimis segala pengalaman itu akan berikan keyakinan buat saya menaikkan kembali nama Negeri Sembilan seperti pernah dikenali satu ketika dahulu,“ katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah:

RASMI: Irfan Bakti Sah Jurulatih Baharu Kuching City

Yusri Che Lah Terima Tawaran Bimbing Skuad Pelapis Ala Harimau Muda

Media Sepanyol Ini Dedahkan Kelab Dari Malaysia Buru Khidmat Diego Rolan