Kelab bola sepak Petaling Jaya City (PJ City), sedia lakar kejutan buat kali ketiga dengan menewaskan juara Liga Super enam kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Larkin pada hari Rabu ini.

Bulan lepas, skuad kendalian K. Devan itu meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan di tempat yang sama dalam aksi Liga Super dan mereka tekad melakukannya sekali lagi dengan merancang strategi yang berbeza.

“Dari segi corak permainan kita masih akan sama, tetapi dalam bola sepak setiap perlawanan itu berbeza. Sebab kita dah buat dua kejutan (mengalahkan JDT), tetapi kali ketiga saya rasa bukan mudah untuk mengatasi pasukan itu.

“Dari segi formasi sama, tetapi mungkin kita perlu atur strategi mengikut kekuatan JDT. Jadi, mungkin dari segi idea utama tidak banyak berubah, kita ada strategi-strategi tertentu dalam kawasan padang dan juga mengikut pemain yang mereka miliki di bahagian kekuatan dan kelemahan mereka,” katanya dalam Bernama

67596209_722129758220337_1311748059478097920_n
FOTO: PJ City

Tahun lepas, ketika dikenali sebagai Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), sebelum dijenamakan sebagai PJ City FC, pasukan tersebut telah menewaskan JDT 1-2 juga di Larkin dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia.

Bagaimanapun, Devan menjangkakan JDT akan memberikan saingan yang sengit dan telah membuat persiapan yang rapi untuk memastikan pasukannya tewas.

“Mereka (JDT) akan bersiap sedia dalam segala aspek untuk bertemu dengan kita, dan mereka juga tidak mahu kalah kali ketiga di tempat sendiri. Saya rasa itu perlawanan yang mungkin kita kena main bermati-matian di sana sekiranya kita nak bawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

“Bagaimanapun, kita akan terus bermain sebagaimana kita bermain dengan JDT, dan saya minta pasukan PJ City FC supaya tidak gementar bertemu dengan JDT serta kita cuba bermain dengan corak permainan saya. Itu sahaja permintaan dan ingatan kepada pemain PJ City FC,” katanya.

Sumber