Skuad Malaysia Bawah 23 tahun (B-23) bakal mendapat sentuhan jurulatih dari Sepanyol apabila namanya disebut-sebut sebagai pengganti E. Elavarasan yang telah letak jawatan pada minggu lalu.

Antara nama yang berada radar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ialah Juan Torres Garrido yang bertugas sebagai pembantu Elavarasan sebelum ini.

Malah, FAM juga dilaporkan akan mengambil jurulatih tempatan sebagai pembantu Juan Garrido dalam skuad Malaysia B-23 dan difahamkan beliau ialah bekas jurulatih Felda United, Nidzam Jamil.

Nidzam kini bertugas sebagai pembantu jurulatih skuad Selangor FC.

Juan Garrido memiliki lesen kejurulatihan A UEFA dan mempunyai pengalaman luas bersama pemain muda semasa di Eropah. Sebelum ke Malaysia, beliau pernah berkhidmat bersama FC Barcelona sebagai ketua pencari bakat bagi wilayah Catalunya.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua jurulatih skuad bola sepak remaja profesional B-23  bersama kelab La Liga, Granada CF.

Menurut laporan Harian Metro, FAM mempunyai perancangan lain sekiranya ada masalah membabitkan Juan Garrido iaitu tempatnya akan diganti oleh Pau Marti Vicente yang kini berkhidmat sebagai pembantu Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Pau Marti merupakan bekas penolong jurulatih Barcelona B-18 dan mempunyai pengalaman luas di peringkat pembangunan bersama akademi terkenal milik Barcelona FC, iaitu La Masia.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman turut mengesahkan senarai akhir barisan kejurulatihan skuad muda negara itu sudah ada dan akan diumumkan presiden badan induk itu, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam tempoh terdekat ini.

Tugasan besar yang sedang menanti pengendali baharu skuad Malaysia B-23 ialah saingan Piala Asia B-23 yang bakal berlangsung di Qatar tahun depan.