Pegawai Eksekutif Perundangan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Azzairi Rosle berharap tiada pihak sengaja cuba mensensasikan isu kesilapan teknikal yang berlaku dalam majlis undian pusingan kedua Shopee Piala FA Malaysia 2019.

Jelas Azzairi yang menjadi juruaudit merangkap pemerhati undian pusingan kedua Shopee Piala FA Malaysia 2019 itu bersama Setiausaha Agung Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Faisal Jamal dan Ketua Unit Undang-Undang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Shahida Bashirah Hishamuddin, mendedahkan kesemua 31 pasukan telah berpuas hati dengan undian yang dijalankan itu tanpa timbul sebarang keraguan terhadap integriti Malaysian Football League (MFL).

Hari ini berlangsung majlis undian pusingan kedua Shopee Piala FA Malaysia 2019 di Petaling Jaya bagi menentukan kedudukan 31 pasukan yang melibatkan wakil dari unifi Liga Super, Liga Premier dan M3.

Bagaimanapun kontroversi tercetus apabila kesilapan Exco FAM, Christopher Raj memegang terbalik keputusan undian bernombor 6 yang mulanya disangka 9 sekali gus menyaksikan Kedah bertemu Selangor United, bukannya menentang Kelantan yang bertemu Selangor.

Mengulas lanjut, Azzairi memberitahu kesemua pasukan tidak menyuarakan bantahan sebaliknya mereka berpuas hati dengan keputusan undian tersebut.

undianpialafa2037

“Sebenarnya kami bertiga telah mengambil sepakat bahawa sekiranya tidak ada bantahan daripada pasukan-pasukan, jadi rasanya tiada masalah.

“Dengan semua (pasukan) menyaksikan pengurusan atau proses-proses undian tersebut, sepatutnya kita melihat bahawa kesilapan itu daripada nombor 6 dan 9 itu bukan satu isu besar.

“Malah, pasukan-pasukan telah pun dimaklumkan segera oleh MFL mengenai kesilapan pengecaman itu dan saya difahamkan MFL telah bertemu dengan pasukan masing-masing. Jadi, mereka sendiri tiada masalah dengan isu dan kami berpendapat majlis undian ini berlangsung secara adil dan telus,” katanya.

al naliq00002

Dalam perkembangan sama, pengurus Kedah, Al-Naliq Hasmi Abu Hassan menegaskan pihaknya tidak menyalahkan MFL atau mana-mana pihak di atas kesilapan teknikal berlaku sebaliknya mendedahkan skuad Helang Merah telah bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pasukan.

“Kesilapan itu tidak perlu diperbesarkan dan saya secara peribadi menganggap Kedah sudah bersedia untuk bertemu mana-mana pasukan tidak kira mereka itu adalah Pahang, Terengganu atau Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali pun.

“Ini adalah perkara normal dalam undian dan kamu harus bersiap sedia untuk mana-mana pasukan yang diundi bertemu kamu. Jadi, saya fikir Kedah tidak cepat melatah di sebalik kesilapan teknikal tersebut dan MFL telah bertindak pantas memberitahu situasi sebenar,” ujarnya.