Pengurus Liverpool, Jürgen Klopp mahu pemain yang baru sahaja ditandatangani, Takumi Minamino mempamerkan prestasi terbaik seperti mana ketika pemain itu beraksi bersama Red Bull Salzburg ketika kedua-dua pasukan bertemu di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Minamino telah menyertai sesi latihan pada Selasa lalu di Melwood namun beliau perlu menunggu untuk membuat penampilan pertama apabila Liverpool tidak dibenarkan untuk menggunakan beliau pada pertemuan menentang Sheffield United.
“Kali ini kami tidak dapat menggunakan beliau. Kami mengadakan sesi latihan ringan pada Selasa dan pemain lain selesa dengan Minamino serta menyambut beliau dengan baik. Komunikasi antara satu sama lain adalah sangat baik. Saya tidak sabar untuk membentuk satu gandingan mantap antara Minamino dan pemain lain.
“Satu langkah yang baik jika semua pihak memberikan masa terhadap beliau. Kami mempunyai satu pasukan yang mantap dan dia beraksi di bahagian serangan. Saya mempunyai banyak pilihan untuk menurunkan beliau di pelbagai posisi. Buat masa ini saya masih belum jelas dimana mahu menggunakan Minamino,” kata Jürgen Klopp.
Klopp turut memuji perwatakan yang dimiliki oleh pemain skuad kebangsaan Jepun itu dan beliau yakin Minamino akan segera belajar bahasa inggeris bagi memudahkan komunikasi. Klopp menambah Minamino cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan dan kini pemain itu perlu bekerja keras sekaligus menampilkan persembahan terbaik.
Liverpool ketika ini mempunyai trio serangan terbaik dalam saingan Liga Perdana Inggeris seperti Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah. Di bangku simpanan, ada Divock Origi serta Xherdan Shaqiri. Minamino perlu bekerja lebih keras jika beliau mahu diturunkan dalam kesebelasan utama dengan lebih kerap.
Baca artikel lain mengenai Takumi Minamino di sini:
Jay Bothroyd Sifatkan Takumi Minamino Pemain Yang Berkualiti
Liverpool Bersiap Sedia Untuk Dapatkan Takumi Minamino, Sedia Bayar Klausa Pelepasan £7.25 Juta