Ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Satianathan menegaskan jurang antara pemain Johor Darul Ta’zim dan pasukannya menjadi perbezaan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 semalam.
Menurut Satia, skuad bimbingannya tidak menampilkan aksi terbaik pada perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Shah Alam dan beliau berpendapat JDT telah menunjukkan kekuatan sebenar mereka.
“Kita tidak menampilkan persembahan terbaik. JDT menampilkan permainan yang mantap dan jaringan yang diperoleh mereka memberikan tekanan terhadap pemain.
“Selain itu, kita dapat lihat perbezaan pemain antara kedua-dua pasukan. Pemain mereka (JDT) menunjukkan persefahaman yang sangat baik. Kami mempunyai peluang terutamanya pada separuh masa kedua namun gagal memanfaatkannya dengan baik.
“Di sini, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yangtelah hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan,” kata Satia pada sidang media selepas perlawanan.
Pada masa yang sama, Satia mengakui pemain perlu memperbaiki prestasi serta tahap kecergasan bagi memastikan pasukan menampilkan prestasi cemerlang musim hadapan.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas prestasi yang ditampilkan oleh pemain pada perlawanan ini. Sukar untuk kita kerana pemain tidak konsisten dengan prestasi mereka.
“Sesetengah pemain perlu meningkatkan tahap kecergasan mereka untuk beraksi pada perlawanan berintensiti tinggi. Perkara ini bagi memastikan kesilapan dapat dikurangkan pada musim hadapan,” tambahnya.
KEPUTUSAN MASA PENUH PERLAWANAN PERINGKAT SEPARUH AKHIR KEDUA PIALA MALAYSIA 2019#PialaMalaysia2019 pic.twitter.com/FF5t7lmLU6
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 26, 2019
Jaringan hatrik oleh Safawi Rasid memastikan juara edisi 2017 itu mencatat kemenangan 3-0 sekaligus memenangi perlawanan separuh akhir dengan agregat 5-1.
Seterusnya, JDT akan bertemu pasukan Kedah yang menyingkirkan Pahang menerusi peraturan jaringan di tempat lawan setelah kedudukan terikat 8-8 secara agregat.
Baca artikel lain mengenai perlawanan antara Selangor menentang Johor Darul Ta’zim di sini:
Piala Malaysia 2019: Lebih 50,000 Tiket Perlawanan Selangor Menentang JDT Berjaya Dijual