Tonggak ragbi skuad kebangsaan Fiji, Josua Tuisova telah mengambil keputusan yang cukup sukar sepanjang pembabitannya dalam sukan lasak tersebut.

Sedang berjuang mengerah segala kudrat bersama rakan sepasukan di Paris dalam saingan Piala Dunia Ragbi 2023, beliau bagaimanapun terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar dalam hidup dan kariernya.

Hal ini kerana Tuisova perlu meletakkan kepentingan negara lebih daripada segalanya meskipun sedang diselubungi kesedihan ekoran kematian anak tersayang yang berusia tujuh tahun.

Pemain di posisi ‘centre’ itu difahamkan telah kehilangan anaknya, Tito Micgabraph Donzel Ratulevu hanya beberapa jam sebelum bermulanya perlawanan ketiga menentang Georgia.

Sebagai seorang bapa sudah pasti hatinya hancur luluh mendengar berita anak kesayangannya sudah tidak mampu lagi untuk berjuang melawan penyakit yang sudah lama dihidapi itu.

Tetapi sebaliknya Tuisova melupakan kesedihan tersebut dengan menyerahkan jiwa dan raganya selama 80 minit perlawanan untuk membantu Fiji menewaskan lawan tersebut 17-12.

Sedar perjuangannya masih belum selesai, beliau turut mengambil keputusan untuk terus berdiri teguh bersama pasukan kerana aksi peringkat kumpulan pada ketika itu masih berbaki satu lagi perlawanan dimana Fiji berpeluang cerah mara ke suku akhir.

Keputusan tersebut sekali lagi perlu diambil dengan penuh pertimbangan secara wajar kerana menyebabkan beliau tidak dapat pulang ke kampung halaman bagi menyelesaikan majlis pengkebumian Tito di Votua.

Segala pengorbanan Tuisova dalam menghadapi dugaan ini jelas dibayar dengan nikmat kemanisan setelah Fiji mengesahkan tempat ke suku akhir walaupun tewas 23-24 ketika bertemu Portugal.

Ini juga bermakna penantian Fiji untuk mara ke suku akhir sejak kali terakhir melakukannya pada 2007, juga di Perancis berjaya direalisasikan.

Perjuangan seterusnya buat pasukan yang dibimbing Simon Raiwalui diteruskan apabila skuad Flying Fijians itu akan bertemu England pada 15 Oktober nanti.

Fiji nyata berada di mood yang baik untuk berhadapan dengan England kerana mereka berjaya menundukkan lawan tersebut 30-22  ketika aksi persahabatan pada Ogos lalu.