Bekas ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson memberikan sebab mengapa beliau memutuskan untuk meninggalkan kelab itu dan beraksi dalam saingan Saudi Pro League bersama Al-Ettifaq.

Baca Juga:

Dalam satu wawancara baru-baru ini, Jordan menegaskan beliau ada berbincang dengan pengurus pasukan iaitu Jurgen Klopp dan hasil daripada perbincangan itu menjadi sebab utama mengapa pemain itu memutuskan untuk meninggalkan pasukan.

“Saya ada hubungan yang baik dengan Jurgen. Dia bersikap jujur dengan saya. Saya tidak akan membahas mengenai apa yang kami bincangkan kerana itu bersifat peribadi.

“Tetapi perbincangan itu meletakkan saya dalam posisi saya tahu saya tidak akan banyak beraksi musim hadapan. Saya tahu akan ada pemain baharu yang masuk bagi menggantikan saya.

“Kemudian ada tawaran dari Al-Ettifaq dan reaksi dari kelab tidak menunjukkan yang mereka akan menolak tawaran itu. Mungkin semua sudah berubah,” kata Jordan Henderson.

Tambah pemain berusia 33 tahun itu, sekiranya Liverpool menunjukkan niat mereka untuk mahu kapten itu kekal, maka beliau akan menolak tawaran yang diberikan oleh Ettifaq.

Selain itu, peluang untuk bekerja dibawah bimbingan Steven Gerrard dalam saingan liga yang berbeza sepenuhnya dari Eropah turut menjadi dorongan bagi Henderson untuk beraksi di Arab Saudi.

“Peluang bersama Stevie adalah sesuatu yang amat berbeza, yang mungkin akan menggembirakan kami dari segi projek yang diletakkan di hadapan kami, dari segi liga dan menggunakan pengalaman saya untuk cuba membantu pasukan.

“Senang rasanya merasa kita dimahukan untuk berada dalam sesebuah kelab. Saya tahu Stevie sangat mahukan saya. Saya tahu kelab mahu saya berjaya dan mereka mahu kami cuba membina dalam beberapa tahun akan datang — sesuatu yang akan kekal dan menjadi salah satu liga terbaik di dunia,” tambahnya.

Perpindahan ke Arab Saudi turut menyaksikan Henderson mendapat kritikan hebat dari kaum LGBTQ+ yang mana Arab Saudi sememangnya mengharamkan dan menghukum rakyatnya yang terlibat dalam komuniti itu.

Sebelum ini, Henderson menjadi antara pemain dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyokong golongan LGBTQ+.